Wednesday, 25 January 2017

Faktor yang membantu memperkembangkan semangat nasionalisme penduduk pribumi di Tanah Besar Asia Tenggara.

Setujukan anda bahawa faktor agama dan bahasa sahaja yang membantu memperkembangkan semangat nasionalisme penduduk pribumi di Tanah Besar Asia Tenggara?
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

1.0 PENGERTIAN NASIONALISME.

            Pada Abad ke-19, kebanyakan negara di Tanah Besar Asia Tenggara telah dijajah oleh orang Barat di sebabkan oleh kepentingan ekonomi dan politik. Penjajahan mereka keatas negara di Asia Tenggara adalah dengan tujuan untuk mengaut kekayaan hasil bumi serta meluaskan pengaruh mereka.[1] Maka penindasan yang dibuat ke atas penduduk di Tanah Besar Asia Tenggara telah meningkatkan semangat nasionalisma di kalangan penduduk untuk memperjuangkan kebebasan. Penindasan ekonomi, politik dan sosial pada zaman Imperialisme Barat telah membawa kepada kemunculan semangat nasionalisme di kalangan rakyat di Tanah Besar Asia Tenggara. Nasionalisme itu merupakan satu fenomena sejagat yang mengiktiraf hak setiap bangsa di dunia untuk menubuhkan negaranya yang tersendiri dengan memindahkan kedaulatan rakyat kepada negara bangsa itu.[2]  Para nasionalis juga ingin membentuk semangat kekitaan dan kesetiaan kepada negara serta menebus maruah dan kedaulatan bangsa. Kebangkitan nasionalisme juga merupakan satu bentuk kesedaran di kalangan rakyat dalam sesebuah negara untuk menebus maruahnya yang telah tercemar melalui dasar penjajahan oleh kuasa asing. Perjuangan itu bertujuan menuntut kemerdekaan dengan semangat nasionalisme bergerak dan berkembang ke arah menebus semula identiti bangsa yang bertamadun, bermaruah  dan berbudaya tinggi demi mewujudkan kebebasan sebuah bangsa dan negara. Konsep nasionalisme yang berasaskan sebuah negara yang terdiri daripada satu bangsa telah diperjuangkan oleh Jerman dan Itali di Eropah pada tahun 1870 an. Pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20, semangat nasionalisme telah tersebar di Tanah Besar Asia Tenggara seperti  Myanmar, Kemboja, Vietnam dan  Thailand. Walau bagaimanapun tiap-tiap negara mempunyai bentuk nasionalisme tersendiri dari segi pergerakan,cara perjuangan serta organisasinya yang ditubuhkan Pergerakan nasionalisma di Tanah Besar Asia Tenggara bermula setelah masyarakat mulai sedar wujudnya penindasan dan ketidakadilan penjajah dalam hal berkaitan agama dan bahasa. Namun begitu wujud juga faktor lain yang turut membantu memperkembangkan semangat nasionalisme penduduk pribumi di Tanah Besar Asia Tenggara seperti  perkembangan perhubungan, peranan akhbar dan penulisan, sistem pendidikan dan pengaruh pendidikan barat, kemunculan golongn intelektual dan pengaruh luar.

 2.0 PERKEMBANGAN PERHUBUNGAN YANG PESAT.

Perkembangan perhubungan yang pesat membolehkan penyebaran maklumat dan idea nasionalisme diperhebatkan melalui perkembangan insfrastruktur moden seperti jalan raya,  jalan kereta api, ciptaan alat sebaran seperti radio, telegraf serta telefon dan lain-lain lagi dapat diperluaskan keseluruh pelusok negara. Selain itu, kemudahan jaringan jalan raya yang menghubungkan bandar dengan kawasan pedalaman juga memudahkan pengedaran surat khabar dan majalah disamping mempercepatkan lagi proses penyebaran berita kepada golongan sasar serta rakyat bawahan. Perkembangan perhubungan terutamanya dalam negeri telah membolehkan penduduk dari merata tempat bergerak dengan lebih mudah.[3] Mereka mudah mendapat maklumat dan berkumpul serta berbincang tentang isu nasionalisme. Penyampaian maklumat dapat disebarkan dengan berkesan dan meluas bagi membolehkan idea nasionalisma diterima malahan beberapa pertemuan antara kawasan membolehkan mereka memecahkan kecenderungan kewilayahan dan kedaerahan yang sehingga ini mengongkong perasaan mereka. Perkembangan  perhubungan  yang pesat juga dapat menghubungkan bandar-bandar  seperti Rangoon, Bangkok, Hanoi atau Saigon sesama sendiri dan dengan Eropah . Perhubungan yang menghubungkan bandar-bandar utama ini dengan dunia luar juga memberi lebih maklumat kepada kawasan pinggir dan wilayah pedalaman serta mendedahkan rakyat tempatan pada idea nasionalisma yang sedang diperjuangkan. Sebagai contohnya berita tentang perang Russia dan Jepun pada tahun 1904 hingga 1905 telah dapat disebarkan ke seluruh kawasan berikutan adanya perkembangan perhubungan. Keadaan ini lebih jelas apabila berita tentang kemenangan pihak Jepun dalam peperangan menentang Russia di raikan di Burma. Secara tidak langsung perkembangan ini telah memberi peluang yang berguna kepada masyarakat tempatan untuk meneliti ideologi baru yang lebih relevan kepada perjuangan nasionalisme dengan mengambil kira keadaan tempatan yang berbeza.

3.0 PERANAN  AKHBAR DAN PENULISAN.

Faktor akhbar dan penulisan juga memainkan peranan penting dalam perkembangan nasionalisma di Tanah Besar Asia Tenggara. Penyebaran akhbar dan majalah seperti di Myanmar samada berbahasa Inggeris atau Burman seperti Deedok, Thuria, Saithan, New Light Of Burma dan JBRS turut memainkan peranan memperluaskan idea nasionalisme dalam pelbagai bentuk dan mengapi-apikan perasaan antiasing dan telah mengugat pentadbiran penjajah.[4] Akhbar dan majalah yang dicetak bukan sahaja telah menjadi medium penting untuk para nasionalis mengeluarkan pendapat dan menyebarkannya kepada masyarakat dalam gerakan kesedaran. Pendek kata, segala idea-idea nasionalisme yang mengkritik mengenai hal kemasyarakatan, agama, ekonomi dan politik dapat disebarkan dengan cepat. Akhbar-akhbar dan majalah ini telah memuatkan tema-tema politik, kebebasan manusia dan pemansuhan perbezaan kaya dan miskin. Di Vietnam , nasionalis-nasionalis seperti Ngugen Phu khai dan Bui Quang Chieu telah menerbitkan La Tribune Indigene sekitar tahun 1920. Akhbar ini telah menjadi alat untuk mengkritik penindasan kerajaan Perancis di Vietnam serta mendedahkan keadaan ekonomi Vietnam yang dikongkong oleh Perancis dan orang Cina. Malahan akhbar ini telah menekankan reformasi yang paling minimum dalam masyarakat kolonial khusus untuk manfaat kelas borjuis yang menetap di Saigon. Manakala akhbar Trung Bac Tan Van (Berita Utara dan Tengah) yang mana telah diterbitkan oleh pensubahat terkenal telah memberi tumpuan kepada masyarakat borjuis di Hanoi. Buku-buku berkaitan penulisan dan idea Marxisme dan sosialisme juga telah dibawa masuk ke Yangon dan boleh dipinjam di kelab-kelab buku seperti Nagani yang ditubuhkan oleh Thakin Nu. Maka dengan itu jelas peranan akhbar dan penulisan memudahkan pengaliran idea-idea kebangsaan dan antarabangsa berikutan ianya lebih menjimatkan masa dan dapat diedarkan dengan mudah ke seluruh tempat. Masyarakat telah diberi pendedahan sepenuhnya tentang idea perjuangan nasionalisma dan telah membolehkan masyarakat sedar dengan apa yang diperjuangkan oleh golongan nasionalis. Selain itu peranan wartawan sangat jelas dalam bidang penulisan dalam memperkembangkan nasionalisme kerana golongan ini bebas menulis dan berhubung dengan rakyat kerana tugas mereka dalam bidang penulisan dan pengajaran. Penulisan mereka yang penuh semangat dan mengkritik dasar penjajah telah menyebabkan gerakan kebangsaan berjalan lancar sehingga Perang Dunia Kedua.

4.0 SISTEM PENDIDIKAN DAN PENGARUH PENDIDIKAN BARAT.

Faktor yang seterusnya adalah peranan  sistem  pendidikan dan pengaruh pendidikan Barat. Sistem pendidikan berasaskan pendidikan kebangsaan merupakan anak kunci yang sangat diperlukan untuk membuka peluang dan pengetahuan untuk berkembang menuju kearah kemerdekaan kebangsaan dan berkerajaan sendiri.[5] Sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh kuasa imperialis Barat di Asia Tenggara adalah bercorak pendidikan sekular telah memberikan idea-idea liberal barat seperti kebebasan dan hak asasi manusia kepada rakyat setempat. Di Vietnam, Albert Sarraut telah memperkenalkan rancangan pendidikan dengan mengambil alih semua pelajaran rendah dan menjadikan pengajian bahasa Perancis dimestikan dengan tujuan menyuntik lebih banyak kebudayaan Perancis.[6]  Pengenalan pendidikan oleh pihak Kolonial pada asalnya adalah untuk memberikan  ilmu-ilmu kepada penduduk tempatan dengan sebelum mengambil mereka dalam perkhidmatan awam. Siswazah yang telah tamat pengajian juga menunjukkan tahap kematangan yang tinggi dalam perkhidmatan awam yang dijawat mereka.
Namun pengenalan pendidikan sekular Barat telah mendedahkan masyarakat tempatan dengan idea-idea pembaharuan dan falsafah Barat  seperti John Locke, Montesquie, Karl Mark, Voltaire dan Plato. Melalui pendidikan ini peluang masyarakat mendapat pendidikan tinggi dan pengetahuan yang secara langsung melahirkan golongan tokoh intelektual yang telah menjadi penggerak kepada nasionalisme. Semasa mendapat pendidikan ini, mereka telah terdedah dengan idea-idea moden seperti demokrasi negara merdeka serta turut menimbulkan kesedaran memperjuangkan negara  yang berdaulat. Pada masa yang sama juga kezaliman dan penindasan penjajah telah mendorong mereka mengatur strategi penentangan terhadap kuasa penjajah. Pengenalan pendidikan Inggeris di Burma pula telah memberi ruang kepada orang Burma mendapatkan ilmu pengetahuan yang tinggi. Contohnya pada tahun 1924, Rang Undang-undang Pindaan Universiti telah dipinda untuk menerima bantuan kewangan kerajaan. Peneriman bantuan kewangan tersebut telah membolehkan universiti meluaskan bidang pengajian termasuk kejuruteraan dan perubatan. Beberapa jabatan latihan guru-guru juga ditubuhkan yang dilengkapi dengan dengan sekolah latihan mengajar telah mengalakkan perkembangan pelajaran dan kebudayaan diseluruh negeri.[7] Pendidikan tinggi juga seperti Maktab Rangoon juga berperanan penting sebagai medium untuk menyampaikan idea-idea dalam melahirkan kesedaran masyarakat. Keadaan ini secara tidak langsung telah berjaya menghasilkan para intelek Burma yang mana telah mendapat pendidikan di maktab tersebut yang mana akhirnya telah memimpin gerakan nasionalisme.

Perubahan dasar universiti juga telah diubah dengan memberi penekanan pelajaran yang membawa kepada nasionalisma bagi melahirkan graduan universiti yang menentang British. Para intelek ini adalah seperti Aung San, Thein Pe dan Thi Han yang digelar Thakin. Keseluruhan corak perjuangan nasionalisme golongan elit yang berpendidikan Barat adalah berbeza-beza antara sebuah negara dengan negara-negara yang lain. Golongan elit di negara penjajahan Barat seperti Myanmar, Vietnam, Laos, Cambodia  berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dan membentuk kerajaan republik. Manakala di Negara Thai, golongan elit yang menyebarkan fahaman anti-pemerintahan beraja adalah berkuasa mutlak. Golongan terpelajar ini juga mahu membebaskan ekonomi negara daripada dimonopoli oleh orang Cina, kapitalis Barat dan golongan bangsawan serta kaum kerabat diraja.  

5.0    KEMUNCULAN GOLONGAN INTELEKTUAL.

kemunculan  golongan intelektual telah memberi ilham pencetus dan menjadi pemimpin semangat perjuangan nasianalisma menentang penjajah. Golongan terpelajar ini muncul daripada pelbagai latar belakang lapisan masyarakat dan mempunyai pengkhususan tertentu seperti peguam, guru, doktor dan wartawan.[8] Kemunculan mereka juga adalah hasil daripada kesinambungan daripada peranan pendidikan yang diperkenalkan oleh Kolonialis. Dalam hal ini, golongan ini adalah berpendidikan Barat dan dipengaruhi oleh idea-idea seperti Liberal, Nasionalis, Demokrasi, Sosialis dan Marxisme. Seterusnya mereka tidak berpuas hati terhadap tindakan penjajah yang bertindak memeras kekayaan dan menindas rakyat tempatan. Keadaan ini dapat dilihat dalam beberapa keadaan seperti peluang pekerjaan yang gagal disediakan untuk mereka serta amalan diskriminasi diamalkan oleh pentadbir Barat. Malahan masyarakat Barat yang disifatkan sebagai pendukung utama idea-idea Demokrasi, Liberalisme dan hak asasi manusia tidak mempraktikkannya ditanah jajahan tidak seperti mana ditanah air mereka sendiri.

 Pejuang nasionalisma Vietnam terpelajar seperti Nguyen Thuong Hien, Duong Ba Trac, Phan Boi Chau, Phan Chan Trinh adalah tulang belakang kebangkitan Vietnam dan corak perjuangan mereka berbeza. Phan Boi Chau yang sejak dari kecil menyebarkan idea serta pendapatnya melalui berkarya. Beliau menggunakan “berus”untuk menghalau orang Eropah dari Vietnam. Manakala Phan Chan Trinh telah mula belajar di sekolah asas China selama 4 tahun dengan sarjana tempatan. Walaupun begitu, beliau mengamalkan sifat sederhana dan menentang secara terbuka terhadap Perancis. Manakala Nguyen Thuong Hien pula adalah seorang sarjana dari golongan atasan yang antikolonial yang menonjol di utara. Beliau telah bertemu dengan Phan Boi Chau dan Phan Chu Trinh dan mendedahkan sentimennya tersebut kepada mereka berdua. Tindakan mereka ini telah didorongi oleh kezaliman penjajah seperti penindasan cukai dan ketidaksempurnaan pendidikan yang diterima penduduk Vietnam.

Di Myanmar pula, semangat nasianalisma mereka menjadi lebih agresif dimana pelajar-peljar Universiti Rangoon telah memainkan peranan penting dalam mengelolakan desakan-desakan bagi menuntut kemerdekaan penuh diberikan kepada Myanmar.[9] Mereka ini yang digelar thakin telah menubuh sebuah parti sosialis digelar Dobama Asiayone pada tahun 1934. Secara keseluruhan, tanpa golongan intelektual ini mungkin semangat nasionalisme ataupun perjuangan kemerdekaan akan mengambil masa lama untuk tersebar kepada rakyat sesebuah negara.  Golongan nasionlalisme adalah golongan yang mempercepatkan proses kemerdekaan negara. Malahan pendidikan barat telah menghasilkan golongan cerdik pandai yang seterusnya menentang pihak penjajah.
  
6.0         PENGARUH LUAR.

Selain itu, pengaruh luar juga menjadi salah satu faktor kebangkitan semangat  nasionalisma di Tanah Besar Asia Tenggara. Terdapat banyak pengaruh luar yang telah meresap kedalam semangat perjuangan nasionalisma seperti kebangkitan oleh negara Jepun. Kebangkitan Jepun ini telah memberi semangat kepada para nasionalis dan memberi kesedaran bahawa Asia mampu untuk maju dan menjadi kuat. Perang Jepun-Russia 1904-1905 membuka mata orang Asia bahawa Asia mampu mengalahkan kuasa Barat. Sebelum itu mereka menganggap bahawa kuasa Barat itu kuasa unggul dan mereka tidak boleh dikalahkan tetapi memberi dorongan kepada orang Asia untuk bangkit menentang negara Barat. Pemulihan Meiji 1864 menunjukkan jalan kepada bangsa Asia bahawa mereka perlu satu reformasi dalam bangsa mereka sendiri. Dalam hal ini kemenangan jepun dalam perang Russia Jepun dibawah pemerintahan beraja Meiji di Jepun yang progresif serta moden telah menjadi contoh utama dalam kegiatan politik revolusionar orang Vietnam. Disamping itu, sikap orang Jepun juga dikatakan menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan seperti Kokubu Shozo, Kolonel Suzuki Keiji dan Higuchi Takeshi yang menganggotai kumpulan Minami Kikan.[10]  Perasaan dan semangat ini seterusnya telah menyebabkan Phan Boi Chau dan putera Chuang De untuk menubuhkan Viet Nam Duy-Tan Hoi (pertubuhan permodenan Vietnam di Jepun). Keadaaan ini telah membolehkan nasionalis seperti Pan Boi Chau ini menjalankan misi menentang pihak penjajah Perancis berinspirasikan kejayaan pihak Jepun menentang Russia dalam perang Jepun 1904-1905 dahulu. Selain itu, orang Vietnam yang telah dikerah oleh Perancis menjadi askar dalam perang eropah juga telah membawa kembali bersama-sama ideologi yang subversif serta tahanan politik di Pulo Condore telah digalakkan membuat perhubungan dengan nasianalisma di China dan Thai.
  
   Pengaruh dari India  yang meresap kedalam nasionalisma di Tanah Besar Asia Tenggara juga telah memberi cara-cara perjuangan seperti swaraj dan hartal yang dikaitkan dengan Gandhi. Pejuang nasionalisma tempatan mempunyai hubungan yang erat dengan ahli politik India seperti U Oktama yang juga pernah menjadi anggota Parti Kongres.[11] Perhubungan yang erat yang terjalin hanya melibatkan hubungan semangat nasionalisma dan bukannya atas dasar penjajahan. Ini dibuktikan dengan jelas dimana orang India sendiri telah menjadi mangsa antiasing di Myanmar dan tiada bukti menunjukkan bahawa India telah mencampuri urusan Myanmar.  Pergerakan mereka bertambah hebat kerana dibantu dengan cara pengalaman pergerakan nasionalis luar menuntut kemerdekaan serta idea-idea mereka yang pelbagai dan disesuaikan dengan keadaan dalam negara. 

7.0  KESIMPULAN.

Kesemua negara-negara di Tanah Besar Asia Tenggara yang telah dijajah oleh kuasa Barat semuanya mempunyai semangat nasionalisme untuk menentang penjajah. Setiap negara mempunyai sifat nasionalisme yang tersendiri namun objektif utama mereka adalah untuk memerdekakan bangsa dan negara mereka daripada terus dijajah disamping ketidakpuasan terhadap pentadbiran, ekonomi dan politik yang diamalkan oleh penjajah. Gerakan nasionalisma semakin berkembang dan bertambah hebat sehingga mencapai kejayaan selepas perang dunia kedua  berakhir. Faktor-faktor seperti perkembangan perhubungan yang pesat, peranan akhbar dan penulisan, sistem pendidikan dan pengaruh pendidikan barat, kemunculan golongan intelektual dan pengaruh luar telah membantu memperkembangkan semangat nasionalisme. Walaupun pergerakan nasionalisma di Tanah Besar Asia Tenggara adalah sama iaitu menuntut kemerdekaan daripada penjajah namun corak perjuangan mereka adalah berbeza. Berbeza pula dengan semangat nasionalisma di Thailand dimana golongan intelek dan terpelajar menuntut pemulihan ekonomi secara bijaksana disamping ketidakpuasan mereka terhadap golongan dan pengaruh dalam pemerintahan beraja. Bagi nasionalisma golongan atasan atau kerabat raja pula, mereka menuntut mempertahankan dan menguatkan kedudukan raja berkuasa mutlak, membangunkan perasaan kepunyaan negara, kebanggaan terhadap warisan dan kebudayaan bangsa serta mempertahankan kepentingan negara di kalangan rakyat Thai.[12] Perjuangan nasionalisma mereka bukan menuntut kemerdekaan daripada penjajah namun perjuangan mereka lebih kepada memajukan dan meningkatkan  ekonomi mereka yang meleset, mempertahankan serta pengagihan kuasa politik yang adil dan lebih telus disamping menjadikan Siam sebagai sebuah negara yang kukuh, moden, cekp dan disegani oleh negara  lain. Walaupun perjuangan golongan nasionalisma  di Tanah Besar Asia Tenggara selain Thailand menempuh pelbagai cabaran dan tekanan, namun semangat perjuangan mereka bukanlah  angan-angan kosong yang sia-sia. Pengorbanan mereka sangat berbaloi setelah negara-negara di Tanah Besar Asia Tenggara mencapai kemerdekaan masing-masing. 

Bibliografi.

Abu Talib Ahmad,  Sejarah Myanmar, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2000.

Hall. D. G .E., Sejarah Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka,1981.

Jessy Joginder Singh, Sejarah Asia Tenggara 1500-1945, Pulau Pinang: Darulaman Publications,1971.

Kobkua Suwannathat-Pian, Sejarah Thai Zaman Bangkok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1991.

Zaharah  Ahmad,  Abd. Majid  Abd. Halim, Sejarah Asia Tenggara Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka,1972.




[1] Zaharah  Ahmad,  Abd. Majid  Abd. Halim, Sejarah Asia Tenggara Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1972. hlmn. 21.
[2] Abu Talib Ahmad,  Sejarah Myanmar, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka,2000. hlm 280.
[3]  Ibid, hlmn 280.
[4] Ibid, hlmn 281.
[5] D.G.E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka,1981.hlmn, 909.
[6] Ibid, hlmn, 927.
[7] Ibid, hlmn, 909.
[8] Joginder Singh Jessy, Sejarah Asia Tenggara 1500-1945, Pulau Pinang: Darulaman Publications, 1971. hlmn 313.
[9] Ibid, hlmn 332.
[10] Abu Talib Ahmad,  Sejarah Myanmar, 2000. hlm 309.
[11] Ibid,  hlm 282.
[12] Kobkua Suwannathat-Pian, Sejarah Thai Zaman Bangkok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1991. Hlmn, 229.

No comments:

Post a Comment