Wednesday, 25 January 2017

Cara Perdagangan Yang Dijalankan Di Melaka Dalam Zaman Kesultanan.

Cara Perdagangan Yang Dijalankan Di Melaka Dalam Zaman  Kesultanan.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1.0       Pendahuluan.

Perdagangan di Melaka bermula setelah pusat kerajaan Melaka berpindah ke muara sungai melaka yang merupakan sebuah tempat yang lebih luas dan sangat sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian dan perdagangan. Kegiatan perdagangan di Melaka semakin rancak setelah kerajaan Srivijaya  mengalami kemerosotan dan para  pedagang mulai berpindah ke Melaka. Kerajaan Melaka telah menguasai laluan Selat Melaka seterusnya menjadikan pelabuhan Melaka berkembang dengan pesat dan menjadi laluan utama perkapalan yang menjalankan perdagangan antara China, India dan Arab serta kapal penduduk serantau. Peranan pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entreport atau pusat pertukaran barangan menyebabkan kegiatan perdagangan bertambah rancak dan menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan dan tumpuan kapal perdagangan antarabangsa disamping tumpuan kapal dari kawasan serantau serta penduduk setempat. Kemajuan perdagangan yang dijalankan menjadikan Melaka semakin terkenal  sebagai  tempat tumpuan dan juga menarik ramai saudagar termasuk dari Arab ke Melaka. Melaka telah digelar oleh orang Arab sebagai Malakat yang bermaksud perhimpunan segala dagang dan ada juga sebahagian daripada mereka mengelarkan Melaka dengan gelaran Mulagah yang mempunyai maksud yang sama.[1] Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru yang sangat berjaya dan mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor  kemajuan teknologi perkapalan dan perdagangan yang semakin berkembang pesat dan telah merancakkan kegiatan perdagangan seterusnya mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi. Keupayaan  kerajaan Melaka sebagai  kuasa besar yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden serta merupakan pelabuhan yang mempunyai bilangan kapal yang terbanyak. Kebesaran dan keagungan Melaka di nusantara sebagai sebuah pusat pelabuhan dan perdagangan banyak ditentukan oleh sistem ekonomi atau cara perdagangan yang dilaksanakannya.

2.0       Hubungan Dagangan Dengan Pedagang Dan Negara Asing.

Kerajaan Melaka yang dikenali sebagai sebuah pusat dagangan yang besar dan antarabangsa sudah semestinya mempunyai hubungan dagangan dan cara pengurusan sendiri yang tersusun dalam mengendalikan pelabuhan dan perdagangannya.  Hal ini kerana sudah tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang tersibuk dan terbesar di rantau ini pada masa itu ditambah lagi dengan bilangan saudagar serta pedagang dari pelbagai negara yang tidak putus-putus mengunjungi Melaka sebagai antara pilihan utama mereka. Melaka mendapat keuntungan ekonominya dengan menjalinkan hubungan dagangan dengan China serta mengambil kesempatan atas dasar perdagangan yang diasaskan oleh Maharaja Yung-Lo.[2] Pedagang-pedagang dari China diberi kemudahan-kemudahan perdagangan yang istimewa untuk berdagang di Melaka. Dengan kehadiran pedagang China, kerajaan Melaka telah mengalakkan lebih ramai pedagang asing untuk menjalankan perdagangan di Melaka. Menurut Duarte Barbosa, seorang pengarang Portugis mengatakan bahawa Melaka adalah sebuah pelabuhan yang tersibuk dan mempunyai bilangan pedagang dan juga jumlah kapal yang terbanyak sekali pada waktu itu.[3] Kesibukan di pelabuhan Melaka dapat dilihat melalui catatan Tome Pires bahawa di pelabuhan Melaka biasanya terdapat lapan puluh empat bahasa yang dituturkan dan setiap pertuturan tersebut adalah berbeza.[4] Selain itu, Tome Pires juga pernah mengatakan bahawa pada setiap tahun terdapat sekurang-kurangnya 100 buah kapal besar dan kira-kira 30 hingga 40 buah kapal-kapal kecil datang ke pelabuhan Melaka. Perkembangan dan pengunaan bahasa Melayu juga mempengaruhi cara perdagangan dengan menjadi bahasa perantara dan bahasa diplomat dimana pedagang-pedagang dari Sulawesi, Jawa, Maluku dan sebagainya walaupun mempunyai bahasa daerah masing-masing namun mereka mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan alat komunikasi antarabangsa untuk berdagang di Melaka.[5]

3.0       Peraturan Pelabuhan dan Perkapalan.

Pelabuhan Melaka mengunakan peraturan tertentu yang diguna pakai semasa menjalankan perdagangan. Pemerintah yang merupakan pihak yang berkuasa akan menerima ufti dan cukai apabila terdapat kapal dagangan masuk ke pelabuhan Melaka manakala rakyatnya akan dikerah bekerja membantu proses dagangan tersebut. Setiap nakhoda perlu melaporkan diri kepada syahbandar  yang bertanggungjawab terhadap pelabuhan dan perlu mengadap orang besar tertentu atau raja Melaka sendiri dengan membawa hadiah. Setelah itu, barulah proses dagangan dapat dijalankan dengan diberi perlindungan, kemudahan dan perkhidmatan pekerja serta  gudang khas  dikhususkan untuknya dan lain-lain faedah pentadbiran. Kewibawaan dan kekuasaan syahbandar dalam usaha pengelolaan undang-undang membantu Melaka memperoleh sumber ekonominya. Hal ini  jika kita perhatikan bersamaan dengan sistem kapal berlabuh  sama seperti undang-undang imigresen dan kastam yang digunakan oleh kebanyakkan negara sekarang dimana para pedagang atau bukan warganegara perlu mengikut garis panduan tertentu bagi memasuki negara lain. Selain itu, ekonomi Melaka juga berpandukan undang-undang dengan melaksanakan Undang-Undang Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang berasaskan Undang-Undang Islam.[6]   

4.0        Sistem Cukai Yang Adil.

Para pedagang dikenakan  cukai  yang adil. Sistem cukai di Melaka berdasarkan pada preferential tariff system. Ini bererti bahawa cukai dikenakan mengikut dari mana dagangan itu datang.[7] Pada umumnya, terdapat dua jenis bayaran atau cukai bagi urusan import atau membawa masuk barang dagangan. Bayaran pertama ialah bersifat rasmi yang tertakluk kepada penetapan kadar yang telah dibuat yang turut juga dinamakan sebagai custom duties manakala bayaran yang kedua ialah berbentuk bayaran tidak rasmi atau hadiah yang harus diberikan kepada Raja, Bendahara, Temenggung dan Syahbandar yang mewakili bangsa nakhoda berkenaan.[8] Negeri-negeri seperti India, Selon, Pegu, Parsi dan dunia Arab atau kapal asing dikenakan cukai sebanyak enam peratus manakala kapal pedagang tempatan dikenakan cukai hanya sebanyak tiga peratus.[9] Pedagang-pedagang dari China, Jepun, Jawa dan Maluku tidak dikenakan cukai tetapi dikehendaki memberikan hadiah kepada raja Melaka dan pembesar-pembesarnya.[10] Namun demikian, Muhammad Yusoff Hashim menyebut di dalam bukunya, bahawa pedagang dari China dan Jepun dikenakan cukai import sebanyak lima peratus.[11]

Selain itu, bahan-bahan makanan yang diimport mendapat keistimewaan iaitu bebas daripada cukai. Bayaran bagi bahan-bahan makanan ini kebiasaannya termasuk ke dalam lingkungan hadiah sahaja. Saudagar- saudagar yang harus mematuhi peraturan ini ialah kapal-kapal yang membawa bahan-bahan makanan tidak kira sama ada dari bahagian timur dan selatan Melaka, Gugusan Kepulauan Melayu, pantai barat Tanah Melayu dan sebagainya. Dasar cukai terhadap bahan import seperti ini berkait rapat dengan keadaan Melaka yang kurang sesuai untuk pertanian. Justeru, sudah semestinya kerajaan Melaka meletakkan dasar yang mudah dan istimewa bagi bahan-bahan makanan dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan untuk penduduk tempatan. Terdapat juga satu jenis cukai bagi mereka yang tinggal atau menetap di Melaka. Tome Pires mengatakan bahawa saudagar yang datang dari Gugusan Kepulauan Melayu dan saudagar asing dari Barat yang ingin menetap bersama keluarga mereka di Melaka akan dikenakan cukai sebanyak tiga peratus.  Dalam tahun 1509 terdapat sebanyak seribu orang Gujerat yang tinggal di Melaka manakala suku-suku Melayu Nusantara pula akan dikenakan royal tax sebanyak tiga peratus dan sebanyak enam peratus bagi saudagar dari Barat Asia.[12] Setelah semua cukai dijelaskan atau dibayar, barulah urusan jualan barangan  bermula di sepanjang jambatan Melaka, pasar-pasar dan sebagainya. Kerajaan Melaka akan mengeluarkan sejenis lesen kebenaran berniaga kepada para peniaga dan penjual. Pengeluaran lesen ini juga adalah sebahagian daripada sumber pendapatan kerajaan.[13]

5.0       Kemudahan Prasarana di Pelabuhan Melaka.

Pemerintah Melaka juga menyediakan gudang untuk pedagang menyimpan barang dagangan mereka. Gudang-gudang ini dikelilingi oleh pagar dan pintu serta dikawal oleh penjaga. Sebahagian gudang berada di bawah tanah.[14] Selain daripada itu, Melaka juga menyediakan kemudahan penginapan kepada para pedagang yang ingin menetap dan terdapat jumlah kadar yang perlu dibayar. Melaka juga menyediakan kemudahan-kemudahan lain seperti kapal-kapal yang rosak boleh dibaiki di pelabuhan. Selain itu, kapal, perahu, jong, lancar  dan pekerja disediakan oleh Syahbandar untuk mengangkut barang ke gudang. Kerajaan Melaka juga turut menyediakan bekalan makanan dan minuman kepada para saudagar. Kedatangan  sebegitu banyak kapal yang datang berlabuh di Melaka menyebabkan kerajaan terfikir untuk menyediakan  infrastruktur atau kemudahan-kemudahan bagi para pedagang seperti kemudahan membaiki kapal dan penyediaan bahan mentah. Selain daripada itu, gedung dan gudang yang disediakan terjamin daripada api, kerosakkan dan kecurian.[15] Gudang tersebut mampu untuk menyimpan bahan-bahan makanan dalam masa atau tempoh yang tertentu. Infrastruktur dan kemudahan yang disediakan ini perlu banyak dan berkualiti kerana saudagar-saudagar dari India, China dan Kepulauan di sebelah Timur tidak sampai pada waktu yang sama oleh sebab semua perjalanan laut sangat bergantung pada tiupan angin monsun.

6.0       Jaminan Keselamatan.

Antara faktor yang menyebabkan Melaka terkenal dan menjadi pilihan pedagang kerana jaminan keselamatan yang diberikan. Unsur-unsur dan jaminan keselamatan gudang-gudang, gedung-gedung, kediaman pedagang dan lain-lain kemudahan yang disediakan terjamin daripada api, kerosakan dan kecurian adalah perlu. Jaminan keselamatan kerajaan Melaka terhadap gedung yang disediakan kepada para saudagar China menurut Kong Yuanzhi mendapati bahawa Melaka telah membina gedung yang dikelilingi oleh pagar kayu runcing dan mempunyai  pintu-pintu yang berkunci. Gedung ini dikawal oleh penjaga yang bersedia untuk membunyikan loceng sekiranya terjadi sesuatu kekecohan dan kecemasan.[16]

Unsur keselamatan bagi perlindungan para pedagang penting juga. Angkatan laut Melaka di bawah panglima laut Laksamana Hang Tuah serta Orang laut atau Orang Selatnya sentiasa meronda di laut dan memberikan perlindungan kepada kapal-kapal pedagang yang datang ke Melaka. Selain itu, Orang “celate” sebagai pelaut yang berani dijadikan tentera laut yang mampu menolak serangan dari Siam.[17] Mereka juga dapat membantu menentang lanun di Selat Melaka kerana lanun boleh menjejaskan keselamatan di perairan.

Tambahan pula, ketokohan laksamana itu sendiri turut diiktiraf oleh masyarakat dalam menjamin keselamatan Melaka khususnya di laut. Laksamana itu digelar sebagai raja di laut. Taraf dan fungsi Laksamana didapati semakin tinggi dan penting selari dengan perkembangan kedudukan kerajaan Melaka yang semakin memuncak dan gemilang. Hal ini kerana peranan Laksamana itu sendiri khususnya dalam menjaga keselamatan di Melaka sama ada di laut dan di darat. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa betapa besarnya peranan dan ketokohan Laksamana itu dalam memelihara keselamatan, seterusnya memberi kepercayaan kepada para pedagang untuk terus berdagang di Melaka.

7.0       Sistem Timbangan  Dan Penggunaan Mata Wang.

Melaka juga mempunyai sistem timbangan dan  unit mata wangnya yang tersendiri dan juga mempunyai jadual khusus nilai pertukaran mata wang dengan  timbangan. Urusan perniagaan dijalankan melalui dua cara, iaitu pertama melalui sistem tukar barang (barter) dan yang kedua melalui proses penjualan dan pembelian.[18] Perniagaan kebiasaannya juga berlangsung di pasar-pasar, warung-warung di jambatan atau di tepi jalan di depan rumah masing-masing selain daripada di pelabuhan Melaka.[19]  Unit ukuran bagi timbangan pada masa itu mempunyai dua nilai atau donominasi  yang bergantung kepada ketul-ketul yang mempunyai ketumpatan timah padu. Jenis yang pertama ialah yang mempunyai berat bersamaan 1 kati 8 tahil ( 1 ½ kati ) dan kedua yang mempunyai berat 1 kati 4 tahil ( 1¼ kati ).[20] Dalam proses jual beli, wang yang digunakan ialah wang logam yang diperbuat daripada kaleng (calains) dalam bentuk timah. Pada kepingan timah ini terpahat nama Sultan Melaka yang memerintah. Selain daripada itu, emas dan perak turut juga digunakan dalam urusan  perniagaan dan ditentukan mengikut nilai barang  dagangan. Tome Pires juga mendakwa bahawa pengenalan dan penggunakan wang di Melaka dipengaruhi secara langsung daripada tradisi perniagaan Pasai. Disebutkan juga bahawa besar kemungkinan, pedagang Muslim dari Pasai yang mempengaruhi penerbitan duit jenis dinar emas dan duit timah yang dikilang di Melaka. Duit timah telah dibuat sejak daripada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1459) dan seterusnya duit-duit kerajaan Melaka yang berikutnya ialah semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Mahmud Syah (1488-1528) dan Sultan Ahmad syah (1510).[21] Pertukaran mata wang juga berlaku di pelabuhan Melaka, di antara mata wang asing dengan mata wang tempatan. Seratus calains dikatakan bersamaan dengan tiga cruzados. Ukuran harga atau nilai mata wang tersebut dikawal oleh syahbandar yang berperanan besar dalam memastikan transaksi perniagaan berjalan dengan adil dan saksama.  Sistem timbangan yang telah disusun oleh kerajaan Melaka juga sangat sistematik kerana bukan satu kerja yang senang untuk menentukan nilai-nilai mata wang tempatan dan juga mata wang asing, lebih-lebih lagi pada kurun yang ke-15.

8.0       Golongan Kiwi Yang Mengendalikan Perdagangan.

Kiwi ialah saudagar yang menghantar dan menyebarkan barangan. Sekiranya kiwi tidak dapat turut sama, maka urusan perdagangannya diwakilkan kepada maula kiwi yang akan menjual barangan di negeri yang dituju.[22] Dalam bahasa moden kiwi boleh dikatakan berperanan sebagai orang tengah atau pemborong yang akan berunding harga dengan pembekal, kemudian merekalah yang akan menjualnya atau mengedarkannya. Dalam fasal 10 Undang-undang Laut Melaka menyebut bahawa kebiasaannya nakhoda, kiwi atau maula kiwi yang memiliki banyak petak. Daripada kenyataan di atas membuktikan bahawa Kiwi juga berperanan sebagai saudagar yang turut menjalankan perniagaan kerana mereka juga mempunyai atau memiliki petak-petak. Petak dalam sesebuah kapal di Melaka mungkin besar kerana disebut oleh Tome Pires bahawa 2 atau 3 orang akan bertugas untuk menjaga suatu petak. Mungkin kita lihat, kiwi atau maula kiwi tidak ubah hanya seperti saudagar seperti kebanyakkan saudagar-saudagar yang lain. Namun tidak dapat dinafikan, fungsi serta peranan institusi kiwi itu sendiri sangat penting. Hal ini kerana kiwi dan maula kiwilah yang bertindak sebagai orang tengah di antara satu saudagar dengan saudagar yang lain daripada berbeza negara atau diantara saudagar dengan peniaga tempatan. Mereka jugalah yang bertindak sebagai pengedar,promosi serta pembekal suatu barangan. Mereka jugalah jua yang memastikan barang-barang dagangan habis terjual, khususnya bahan-bahan makanan yang kita telah maklum tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Itulah sifat atau tugasan Kiwi sebagai orang tengah.

9.0       Kesimpulan.

Secara kesimpulannya, cara perdagangan yang dijalankan oleh kesultanan Melaka telah mengamalkan budaya perdagangan bebas, bersistematik dan mengikut peraturan-peraturan tertentu serta berpandangan jauh. Peraturan seperti pelabuhannya yang mengenakan cukai yang adil, kewujudan pelbagai kemudahan bagi pedagang, sistem pentadbiran yang cekap, pengenalan mata wang dan ukuran adalah faktor yang menarik minat para pedagang untuk berdagang di Melaka. Sistem perdagangan dan pentadbiran yang dijalankan oleh Melaka menjadikan Melaka maju dan terkenal di mata dunia yang lain  sebagai pusat perdagangan terkenal di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun kegemilangan Melaka dalam kegiatan perdagangan antarabangsa  hanya dapat bertahan selama lebih kurang saratus tahun akibat kemerosotan kerajaannya dan diserang oleh Portugis pada tahun 1511. Selepas penawanan dan penguasaan Portugis di Melaka maka berakhirlah empayar Melaka sebagai penguasa utama dalam perdagangan antarabangsa di rantau ini. 

 Bibliografi
Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman,1994, Malaysia Kita. Cet.2, Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Abdul Latiff Abu Bakar, ( ed ),  1984. Sejarah Di Selat Melaka, Melaka: Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka.

Asmad,  (ed ), 1983. Dokumentasi: Seminar Sejarah Melaka, Kerajaan Negeri Melaka.

Hassan Ibrahim, et,al, 1983. Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran Dan Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara
.
Kong Yuanzhi, 2000. Pelayaran Zheng He Dan Alam Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd. Dahlan Mansoer, 1979. Pengantar Sejarah Nusantara Awal, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim, 1989, Kesultanan Melayu Melaka,Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Muhammad Yusoff Hashim. 1990. Kesultanan Melayu Melaka. Kajian Beberapa Aspek tentang Melaka pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani, 2003. Pendidikan Negara Bangsa, Bentong: PTS Publications & Distributors.




[1] Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani,  2003. Pendidikan Negara Bangsa, Bentong: PTS Publications & Distributors, hlmn, 143.
[2] Asmad,  (ed ), 1983.  Dokumentasi: Seminar Sejarah Melaka, Kerajaan Negeri Melaka, hlmn, 27.
[3]Abdul Halim  Saad, Hj. Abdul Halim  Ab. Rahman,1994. Malaysia Kita. Cet.2,Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). hlmn, 134.
[4] Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani, 2003. Pendidikan Negara Bangsa, hlmn, 143.
[5] Abdul Latiff Abu Bakar, ( ed ),  1984. Sejarah Di Selat Melaka, Melaka:  Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, hlmn, 5.
[6] Hassan Ibrahim, et,al, 1983. Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran Dan Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara, hlmn 14.
[7] Abdul Halim  Saad, Hj. Abdul Halim  Ab. Rahman, et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmnl,135.
[8] Muhammad Yusoff Hashim,1989, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,  hlmn, 254.
[9] Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani, 2003. Pendidikan Negara Bangsa, hlmn 143.
[10] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 115.
[11] Muhammad Yusoff Hashim, 1989, Kesultanan Melayu Melaka, hlmn.254.
[12] Ibid., Hlmn.255
[13] Ibid., Hlmn.255
[14] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 115.
[15]Ibid, 115
[16] Kong Yuanzhi, 2000. Pelayaran Zheng He Dan Alam Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia,hlmn 73.
[17] Mohd. Dahlan Mansoer, 1979. Pengantar Sejarah Nusantara Awal, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka,hlmn 240.
[18] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka, hlmn, 255..
[19] Abdul Halim  Saad, Hj. Abdul Halim  Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 114.
[20] Abdul Latiff Abu Bakar, ( ed ),  1984. Sejarah Di Selat Melaka, Melaka, hlmn 97
[21] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 116
[22] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. hlmn, 116.

1 comment:

  1. Seminole Hard Rock Hotel & Casino - MapYRO
    Find your way 영천 출장샵 around the casino, find 제주 출장샵 where everything is located with these helpful guide to 포항 출장안마 Seminole Hard 경상남도 출장샵 Rock Hotel & Casino. 제천 출장샵 Rating: 4 · ‎2 reviews

    ReplyDelete