Golongan agama merupakan pencetus kesedaran awal tentang nasib bangsa
dan negara di Malaysia. Bincangkan.
1.0 Pendahuluan.
Pada pandangan saya, golongan
agama sememangnya pencetus nasib bangsa dan Negara di Malaysia. Secara umumnya,
golongan agama merupakan golongan yang berkaitan dengan nasionalisme di Tanah
Melayu yang sekarang kita kenali sebagai Malaysia. Nasionalisme yang juga
dikaitkan dengan “Negara” dan Bangsa”.[1]
Nasionalisme bertujuan mewujudkan kebebasan individu dan Negara daripada
cengkaman dan kongkongan kuasa asing. Nasionalisme bergerak ke arah pembentukan
satu identiti bangsa yang berbudaya tinggi. Semangat nasionalisme pada masa
abad ke-20, saya fokuskan kepada orang
melayu kerana pada masa ini mereka adalah penduduk pribumi Tanah Melayu.
Dalam konteks di Tanah Melayu,
kesedaran nasionalisme merujuk kepada sesebuah masyarakat yang sedar bahawa
mereka di belenggu hidup di bawah penjajahan seperti British dan mereka perlu
bertindak untuk memerintah tanah air mereka tanpa diganggu gugat oleh kuasa
lain. Menjelang abad ke-20, kebangkitan nasionalisme dalam kalangan orang
Melayu semakin meluas dan dikatakan berada ditahap yang matang. W. R. Roff
menyatakan bahawa proses perkembangan nasionalisme Melayu dibahagikan kepada
tiga tahap yang dipimpin oleh tiga golongan yang mempunyai latar belakang yang
berbeza. Pada tahun 1906 sehingga 1926, golongan agama yang berpendidikan Arab
telah memainkan peranan dalam perkembangan nasionalisme
orang Melayu.[2] Kemudian
pada tahun 1926 hingga 1937, golongan berpendidikan Inggeris telah memainkan
peranan diikuti oleh golongan yang berpendidikan Melayu pada
tahun 1937 hingga 1941. Saya akan memfokuskan kepada soalan iaitu
tentang peranan golongan agama dalam menentukan nasib bangsa dan Negara bermula
pada tahun 1906 sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
2.0 Gerakan
Islah-Islamiah, 1906-1926.
Terdapat tiga golongan yang memperjuangkan
bangsa melayu pada awal abad ke-20. Golongan pertama ialah mereka orang
berketerunan Arab yang menjadi pedagang dan peniaga yang berpengaruh di bandar-bandar
telah memimpin gerakan yang memperjuangkan pemulihan agama, ekonomi dalam masyarakat
Melayu. Golongan kedua adalah jawi peranakan(berketerunan India-Islam yang
kebanyakannya terdapat di Pulau Pinang) yang menolong menyebarkan idea-idea
pemulihan Islam yang dianjurkan oleh golongan berketerunan Arab itu melalui
penerbitan akhbar dan majalah Melayu. Golongan ketiga ialah merupakan golongan
pemulih berpendidikan Arab terdiri daripada orang kacukan Arab-Melayu dan Jawi
Peranakan yang tinggal di Bandar Singapura. Tetapi antara ketiga-tiga golongan,
golongan yang berpendidikan Arab ini yang mula-mula sekali menyuarakan rasa
tidak puas hati terhadap keadaan ekonomi dan sosial orang Melayu pada masa itu.
Mereka berpendidikan Arab dan melanjutkan pelajaran Islam ke Universiti
Al-Azhar di Kaherah, Mesir. Mereka banyak terpengaruh dengan gerakan pemulihan
di sana. Mereka dikenali sebagai Kaum Muda. Mereka menyebarkan pemulihan Islam
dengan mendirikan sekolah-sekolah agama dan kemudian menerbitkan majalah dan
akhbar untuk memberikan kesedaran kepada orang melayu.
2.1 Perjuangan Kaum Muda.
Pada tahun 1906, telah muncul
golongan Kaum Muda. Kaum Muda terdiri daripada Syeikh Muhammad Salim Al-Kalali,
Syeikh Mohd. Tahir bin Jalaluddin Al-Azhari, dan Sayid Syeikh bin Ahmad Al-Hadi
yang berpendidikan Timur Tengah dan berpendidikan Melayu. Mereka merupakan Jawi
Peranakan namun mereka telah sebati dengan cara hidup orang Melayu di Tanah
Melayu.. Golongan
ini kebanyakkannya bukan berdarah Melayu tempatan kecuali Haji Abbas bin Mohd.
Taha. Golongan ini digelar golongan Al-Imam kerana mereka telah menjadi
pengasas kepada kemunculan majalah Al-Imam. Majalah ini telah diterbitkan oleh
Syeikh Muhammad bin Salim Al-Kalali dan diterbitkan pada 27 Julai 1906.[3]
Majalah Al-Imam ini membawa maksud pemimpin yang bertepatan dengan tujuan
mereka untuk memimpin orang Melayu supaya sedar bahawa negara mereka telah
dikuasai oleh bangsa asing dan mereka hanya menjadi penurut perintah walaupun
berpijak pada bumi sendiri. Tujuan utamanya yang dinyatakan dalam rencana
pertama yang ditulis oleh Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali dalam majalah Al-Imam
sungguh jelas iaitu “...mengingat mana
yang lalai dan menjagakan mereka yang tidur dan menunjukkan
mana yang sesat...”[4][Al-Imam
adalah merupakan majalah pertama di Tanah Melayu yang mempunyai idea-idea
perubahan sosial dan unsur politik.
Kaum Muda berpendapat bahawa
kemunduran bangsa Melayu adalah disebabkan oleh kelalaian orang Melayu dengan kehidupan duniawi.[5] Oleh
itu, Kaum Muda berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan orang Melayu walaupun
kebanyakkan golongan ini bukanlah berdarah Melayu. Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali
menyatakan “Sudah minum kami akan susunya
dan telah tumbuh darinya daging darah kami dan telah terbit daripadanya nikmat
perhatian kesenangan kami. Tidakkah jadi terhutang kami kepada
negerinya dan anak-anaknya”.[6]
Kebanyakkan orang Melayu tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar dan melakukan
perbuatan yang ditegah dalam Islam. Itu
adalah masalah utama yang menyebabkan tiada perkembangan kemajuan pendidikan,
ekonomi, sosial dan politik orang Melayu.
Kaum Muda cuba menyedarkan Kaum
Tua iaitu golongan yang mencampuradukkan
antara tradisional dengan agama melalui majalahnya, Al-Imam.
Syed Syeikh Al-Hadi menyatakan bahawa amalan khurafat umat Islam dan sikap
statis pemimpin agama yang menjadi punca kejatuhan masyarakat Melayu.[7]
Kaum Muda menegaskan bahawa tindakan Kaum Tua telah membawa satu pegangan yang
salah sekali gus telah menyebabkan orang Melayu yang keseluruhannya yang
merupakan penganut setia Islam sering menyalahtafsirkan ajaran agama pada pengertian
yang sebenar.
Melalui Al-Imam, Kaum Muda telah
membincangkan tentang pemulihan Islam mengikut ajaran Agama Islam yang sebenar
seperti yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis untuk mengatasi kemunduran
orang melayu dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Al-Imam mengingatkan
orang Melayu tentang bahayanya mengikut ajaran ulama kampung yang
diputarbelitkan menjadi penghalang kepada kemajuan dalam masyarakat Melayu.
Kaum Muda menyeru orang Melayu
supaya menoleh ke arah Jepun untuk meniliti cara mereka memajukan bangsa dan
negaranya.[8]
Hal ini kerana orang Jepun menerima pembaharuan dari segi politik, ekonomi dan
pertahanan namun tidak sedikit pun membelakangkan agamanya. Situasi ini berbeza
sekali dengan pandangan orang Melayu yang menolak sepenuhnya tamadun Barat dan
menganggap orang Barat sebagai musuh Islam. Apabila agama diasingkan dengan
politik, ekonomi dan juga sosial maka pemikiran dan kemajuan orang Melayu
tersekat dalam dunia pembangunan.
A-Imam mengusulkan satu
pembaharuan pada sistem pelajaran Islam. Sistem yang diperkenalkan adalah
berdasarkan rukun dan hukum Islam yang sebenar.[9]
Dasar baru ini , mata pelajaran Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Sains dan
Matematik yang berhubungan dengan mata pelajaran moden hendaklah diajar dan
menggalakkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Ini menunjukkan
Al-Imam tidak menentang ilmu pengetahuan dan kemajuan seperti yang disebarkan
oleh Barat dan dituduh oleh golonan ulama-ulama kampung. Kaum Muda menegaskan kepada orang melayu bahawa pendidikan
merupakan salah satu medium penting untuk meninggikan martabat orang Melayu.
Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin
Al-Falaki menyatakan bahawa pendidikan ini saling bersangkut paut dengan aspek
keagamaan, sosial, politik, dan ekonomi orang Melayu.[10]
Pembangunan yang telah disediakan oleh pihak British tidak mencukupi untuk
orang Melayu kerana pembangunan ini masih memberi keuntungan kepada pihak
British itu sendiri. Kaum Muda memberi penekanan kepada ilmu Sejarah supaya
orang Melayu sedar dan mengambil ikhtibar daripada sejarah
yang telah berlaku. Kaum Muda menyatakan orang melayu kurang menyedari
kepentingan pendidikan disebabkan oleh raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu
yang tidak menyediakan pelajaran untuk rakyatnya sedangkan mereka mempunyai kuasa
untuk memerintah rakyatnya menuntut ilmu kerana mereka golongan yang sangat
dihormati. Raja-raja dan orang-orang besar lalai dalam kehidupan mereka
yang diselubungi dengan kemewahan dan kesenangan.
Oleh itu, orang Melayu perlu
mementingkan pendidikan supaya tidak menjadi bangsa yang mundur. Haji Muhammad Tahir, seorang guru telah mencadangkan
supaya pendidikan yang diberikan tidak hanya bercorak agama semata-mata malah
disulami dengan ilmu yang diberikan oleh orang-orang Barat.[11] Kaum Muda
meminta orang Melayu supaya menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Haji
Muhammad Tahir dan menyeru mereka menyuarakan kepada pihak Raja-raja Melayu dan
Pesuruhanjaya Tinggi British agar diberi wang peruntukkan khas untuk
sekolah-sekolah tersebut. Melalui pendidikan ini, Kaum Muda telah melahirkan
ramai tokoh politik seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Othman Abdullah dan juga
Salmah Mohsin.
Kaum Muda juga membuat
pembaharuan dalam pentadbiran di Tanah Melayu. Kaum Muda menyatakan dengan
melatih anak-anak negeri menjadi pentadbir dan menggantikan pegawai-pegawai
asing dengan pegawai-pegawai anak negeri maka kemajuan akan segera diperolehi.[12]
Kaum Muda telah mengambil contoh daripada Turki dan Jepun yang telah meletakkan
bangsa mereka sendiri dalam corak pentadbiran negara. Hal ini jauh berbeza
dengan sistem pentadbiran di Tanah Melayu ketika itu. British telah diberi
kuasa dalam soal pentadbiran manakala golongan raja-raja dan pembesar-pembesar
Melayu terasing dan mengasingkan diri daripada rakyat jelata. Selain itu, orang
Melayu selalu ketinggalan dalam bidang ekonomi seperti dalam kenyataan ini, “Walaupun sering dikatakan orang Melayu
penduduk peribumi negara ini disebut ‘peribumi’ serta menguasai sistem politik
dan pemerintahan negara ini, tetapi dalam bidang ekonomi atau perjuangan
merebut nilai kebendaan, mereka tewas kepada golongan imigran.”[13]
Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu gagal menguasai ekonomi di
negara sendiri sedangkan golongan pendatang dapat mengaut keuntungan di Tanah
Melayu. Kita lihat orang Melayu dibiarkan oleh pihak penjajah dalam sektor
pertanian yang tidak mempunyai daya pengeluaran dan memberikan pulangan yang tidak
stabil. Kaum Muda mahu orang Melayu sedar bahawa mereka telah dipergunakan oleh
British untuk kepentingan mereka sendiri.
Selain itu, kemasukkan penjajah
di Tanah Melayu telah membawa sistem ‘pecah
dan perintah’. Sistem ini telah mewujudkan sistem ekonomi kapitalis yang
berbeza dengan corak ekonomi yang diamalkan sebelum kedatangan penjajah iaitu
sistem ekonomi tradisi. Ekonomi kapitalis telah menyebabkan masalah kemiskinan
di Tanah Melayu terus meningkat dan Kaum Muda menyarankan supaya orang Melayu
perlu bersaing dengan imigran lain supaya ekonomi di Tanah Melayu dikuasai oleh
orang Melayu sendiri.[14]
Kaum Muda bukan sahaja menyedarkan orang Melayu supaya bangkit menentang pihak
kolonial malah bangun dari tidur yang lena untuk terus bersaing dengan imigran
diTanah Melayu.
Selain itu, Kaum Muda turut menyarankan kaum wanita untuk mendapatkan ilmu. Kaum Muda menyatakan bahawa perubahan dalam pendidikan perlu dilaksanakan dengan memberi pendidikan sekurang-kurangnya sampai darjah tiga untuk wanita dengan memberi pelajaran Al-Quran dan agama supaya mereka menjadi ibu yang boleh mendidik anak-anak.[15] Pada tahun 1925, Sayid Syeikh Al-Hadi telah menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Hikayat Faridah Hanum menegaskan berapa pentingnya pelajaran dan kebebasan wanita kepada masyarakat.[16] Oleh itu, kita lihat pendidikan menyedarkan wanita tentang pentingnya peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.penulisan telah menjadi medium golongan agama untuk menyebarkan kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu.Jelaslah di sini bahawa golongan agama pada awal kurun ke-20 telah menyebabkan kesedaran kebangsaan wujud untuk memperjuangkan kemerdekaan bangsa daripada terus dijajah.
2.2 Parti
Politik Islam
2.2.1 Hizbul Muslimin
Pada
Mac 1947, persidangan Islam se-Malaysia (Pan-Malayan Islamic conference) yang
pertama telah diadakan di Madrasah Ma'ahad al-Ehya as-Sharif di Gunung Semanggol, Perak. Perhimpunan yang ditaja oleh Parti Kebangsaan
Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan
Dr. Burhanuddin al-Helmy dianjurkan untuk
membincangkan masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan Melayu-Muslim. Ianya
bertujuan membawa gerakan-gerakan dan pemikir-pemikir Islam yang lebih aktif
secara politik dan progresif di dalam negeri untuk duduk bersama-sama. Hasilnya
MATA, Majlis
Agama Tertinggi Malaya (Supreme Religious Council)
Malaya telah tertubuh. MATA mula menganjurkan
perhimpunan dan kegiatan politik bagi aktivis Melayu-Muslim untuk berkumpul dan
berbincang rancangan untuk masa depan dan keperluan untuk mengerahkan
masyarakat umum. Majlis itu juga menganjurkan satu persidangan pada 13–16 Mac
1948 yang membincangkan isu tempatan dan antarabangsa yang berkenaan dengan
masyarakat umum. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah
berjaya melahirkan Hizbul Muslimin.
Hizbul Muslimin ('Hamim') atau Parti
Orang Muslimin Malaya (Muslim
People's Party of Malaya), merupakan parti Islam yang pertama di Tanah Melayu telah ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Hizbul Muslimin dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Hizbul
Muslimin ialah parti Islam pertama di Tanah Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan
dari penjajahan British.[17]
Penubuhan Hizbul Muslimin ini bermatlamat
untuk mencapai kemerdekaan, membina
masyarakat yang berasaskan Islam dan menjadikan Malaya sebuah negara Islam atau
Darul Islam.[18] Terdapat
tujuh objektif untuk memastikan matlamat pertubuhan ini tercapai antaranya ialah
untuk menjadikan orang Islam di Malaya sedar tentang prinsip-prinsip Islam,
menyatukan barisan orang Islam yang berpecah berpegang pada satu ideologi,
menyokong kebebasan akhbar, berhimpun dan bercakap, meningkatkan bilangan
sekolah, menyediakan pendidikan mengikut keperluan semasa, meningkatkan
kebaikkan moral orang-orang Melayu dan juga menjaga ekonomi
dan kebajikan orang Melayu.[19]
Tetapi
aktiviti Hizbul Muslimin terganggu setelah pengisytiharan darurat pada Jun
1948. Pada Ogos 1948, tujuh orang pemimpin parti Hizbul Muslimim telah
ditangkap di bawah undang-undang darurat di antaranya Dr. Burhanuddin dan Ustaz
Abu Bakar Bakir, seorang lagi ulama yang terkemuka yang telah menyumbang jasa
dalam Hizbul Muslimin iaitu Syeikh Tahir Jalaluddin. Beliau memberikan pendapat
mengenai ekonomi rakyat dan sekolah agama rakyat yang diadakan di Gunung
Semanggol sehingga menyebabkan Onn bin Jaafar mengeluarkan amaran mengenai "ancaman bahaya dari gunung",[20] Gunung
yang dimaksudkan ialah Gunung Semanggol iaitu tempat kelahiran Hizbul Muslimin.
Walaupun perjuangan Hizbul Muslimim terkubur begitu sahaja akibat
pengisytiharan darurat namun usaha untuk memperolehi kemerdekaan terus
diperjuangkan oleh parti politik yang lain. Aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim
ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan
sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS
pada tahun 1951.
2.2.2
Perjuangan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS).
PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948. PAS ang ditubuhkan adalah sebuah parti Melayu yang memperjuangkan hal-ehwal Islam.[21] PAS mempunyai tokoh yang berkaliber seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy iaitu seorang tokoh yang mempunyai wawasan dan berpandangan jauh untuk memajukan parti. Sebelum menjadi Presiden PAS, beliau pernah terlibat dengan Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM) iaitu sebuah pertubuhan yang mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Beliau yang telah mencadangkan penubuhan Hizbul Muslimin.
PAS
adalah parti yang menjadi pilihan bagi orang-orang melayu yang berpendidikan
agama. PAS mempunyai matlamat untuk mewujudkan
sebuah negara Islam dan menjadikan pentadbiran Tanah Melayu berasaskan agama
Islam. Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya
menyedarkan masyarakat Melayu tentang
betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara
Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya
adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam
dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan
Sunnah. Tidak dinafikan bahawa
semangat perjuangan yang berteraskan kepada Islam di negara ini telahpun wujud
semenjak tahun 1906 lagi, yang telah dibawa dan diperjuangkan oleh golongan
pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (antaranya
termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan
Haji Abbas Mohd. Taha) yang berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang,
PAS yang muncul pada tahun 1951 adalah atas kesedaran masyarakat Melayu (pada
waktu itu) untuk melihat Agama
Islam dapat
ditegak dan didaulatkan di negara ini.
PAS
telah mewarisi gerakan Islam daripada Hizbul Muslimin yang bergiat dalam
politik negara, memajukan organisasi PAS dan menjalankan tugas PAS sebagai
pendakwah Islam. Dr. Burhanuddin telah mengkritik Suruhanjaya Reid berkaitan
isu kerakyatan jus soli, penggunaan bahasa Melayu, kedudukan orang-orang Melayu
dan mengenai pendidikan kebangsaan.[22] Satu
memorandum telah dihantar kepada Suruhanjaya Reid dan disokong oleh ahli-ahli yang
lain. Dr. Burhanuddin telah membentuk pendirian politik PAS dan beliau
merupakan seorang nasionalis Melayu yang cuba menegakkan kebangsaan Melayu dan
dasar Melayu Raya. Beliau banyak memainkan peranan dalam usaha memantapkan dan
memperkembangkan PAS serta menyalurkan ideanya dalam usaha menuntut kemerdekaan
negara. Perjuangan golongan agama sehingga 1957, telah di akhiri dengan
perjuangan parti PAS yang sehingga kini masih lagi mempertahankan kemerdekaan
Negara.
Kesimpulan.
Daripada huraian yang telah saya kemukakan dapatlah kita ketahui bahawa golongan agama merupakan pencetus kesedaran awal tentang nasib bangsa dan negara di Malaysia. Mereka menjadi pencetus kesedaran terhadap nasib bangsa melayu di negeri mereka sendiri. Merekalah yang menggerakkan kaum melayu untuk menaikkan taraf kaum sendiri. Tanpa kesedaran daripada golongan agama mungkin kita rakyat Malaysia masih lagi berada di bawah jajahan penjajah. Mereka telah menaikkan semangat nasionalisme orang Tanah Melayu hingga sekarang kita merdeka dan menjadi sebuah Negara Malaysia yang membangun memberi keuntungan kepada Orang Melayu bahkan kepada kaum Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia. Perjuangan golongan agama adalah menjurus kepada memerdekan tanah air hingga ke saat ini. Hingga kini PAS yang telah menyertai politik di Malaysia masih bermatlamat mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara Malaysia untuk menjadikan Malaysia terdiri daripada masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalam nilai-nilai Islam walaupun Negara Malaysia sekarang ditadbir oleh kerajaan UMNO.
Bibliografi
Abdul
Aziz Mat Ton. 2006. Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908),
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Haji Jaafar. 1985. “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah
Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan
Universiti Malaya.
Abdul Rahman Haji Ismail. 2006. “Bangsa Ke Arah
Ketepatan Makna dalam Membincangkan Nasionalisme Melayu”, Nasionalisme dan Revolusi di
Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia.
Abdul
Razak Ayub.1985. Perpecahan Bangsa Melayu, Selangor: Dewan Pustaka Fajar.
Azimah
Abd.Manaf.2012. Malaysia:Gerakan Kesedaran & Nasionalisme,Kuala
Lumpur:Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.
Kamaruddin Jaafar. 2003. Dr. Burhanuddin Al-Helmy ‘Pemikir dan
Perjuangan’, Selangor: Seri Kembangan.
K.Ratnam.1999.Sejarah Malaysia,Asia Tenggara,Asia
Selatan,Asia Timur,Selangor:Pustaka Sarjana Sdn.Bhd.
Mohammad Redzuan Othman,2005, Islam dan Masyarakat
Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti
Malaya.
Parti Islam Semalaya, 26 Disember 2013 diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia
William R. Roff. 2003. Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan
Universiti Malaya.
[1]Abdul Rahman Haji Ismail,2006, “Bangsa Ke Arah Ketepatan Makna dalam Membincangkan
Nasionalisme Melayu”,Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains
Malaysia,hlm.1.
[3] Abdul
Aziz Mat Ton,2006, Pengislahan Masyarakat
Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlmn.1.
[4] Mohammad
Redzuan Othman,2005, Islam dan Masyarakat
Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur: Penerbitan
Universiti Malaya, hlmn.113.
[5] Abdullah
Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam
Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu
Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.87.
[6] Ibid.
[7] Abdul
Aziz Mat Ton,2006, Pengislahan Masyarakat
Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlmn.254.
[8] Abdullah
Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam
Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu
Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya,hlmn. 87.
[9] K.Ratnam,1999,
Sejarah Malaysia, Asia Tenggara,Asia Selatan,Asia
Timur, Selangor :Pustaka Sarjana Sdn.Bhd, m.s114.
[10] Abdul Aziz Mat Ton,2006, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan
al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn. 416.
[11] Abdullah
Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam
Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu
Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn. 87.
[13] Abdullah
Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam
Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu
Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.88.
[15] Abdullah
Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam
Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu
Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.93.
[17] Hizbul Muslimin, 26 Disember 2013, diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hizbul_Muslimin .
[20]Hizbul Muslimin,26 Disember 2013, diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hizbul_Muslimin.
[21] Parti Islam Semalaya, 26 Disember 2013, diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia
[22] Kamaruddin
Jaafar, 2003, Dr. Burhanuddin Al-Helmy
‘Pemikir dan Perjuangan’, Selangor:
Seri Kembangan, hlmn. 214.
No comments:
Post a Comment