Wednesday, 25 January 2017

Cara Perdagangan Yang Dijalankan Di Melaka Dalam Zaman Kesultanan.

Cara Perdagangan Yang Dijalankan Di Melaka Dalam Zaman  Kesultanan.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1.0       Pendahuluan.

Perdagangan di Melaka bermula setelah pusat kerajaan Melaka berpindah ke muara sungai melaka yang merupakan sebuah tempat yang lebih luas dan sangat sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian dan perdagangan. Kegiatan perdagangan di Melaka semakin rancak setelah kerajaan Srivijaya  mengalami kemerosotan dan para  pedagang mulai berpindah ke Melaka. Kerajaan Melaka telah menguasai laluan Selat Melaka seterusnya menjadikan pelabuhan Melaka berkembang dengan pesat dan menjadi laluan utama perkapalan yang menjalankan perdagangan antara China, India dan Arab serta kapal penduduk serantau. Peranan pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entreport atau pusat pertukaran barangan menyebabkan kegiatan perdagangan bertambah rancak dan menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan dan tumpuan kapal perdagangan antarabangsa disamping tumpuan kapal dari kawasan serantau serta penduduk setempat. Kemajuan perdagangan yang dijalankan menjadikan Melaka semakin terkenal  sebagai  tempat tumpuan dan juga menarik ramai saudagar termasuk dari Arab ke Melaka. Melaka telah digelar oleh orang Arab sebagai Malakat yang bermaksud perhimpunan segala dagang dan ada juga sebahagian daripada mereka mengelarkan Melaka dengan gelaran Mulagah yang mempunyai maksud yang sama.[1] Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru yang sangat berjaya dan mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor  kemajuan teknologi perkapalan dan perdagangan yang semakin berkembang pesat dan telah merancakkan kegiatan perdagangan seterusnya mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi. Keupayaan  kerajaan Melaka sebagai  kuasa besar yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden serta merupakan pelabuhan yang mempunyai bilangan kapal yang terbanyak. Kebesaran dan keagungan Melaka di nusantara sebagai sebuah pusat pelabuhan dan perdagangan banyak ditentukan oleh sistem ekonomi atau cara perdagangan yang dilaksanakannya.

2.0       Hubungan Dagangan Dengan Pedagang Dan Negara Asing.

Kerajaan Melaka yang dikenali sebagai sebuah pusat dagangan yang besar dan antarabangsa sudah semestinya mempunyai hubungan dagangan dan cara pengurusan sendiri yang tersusun dalam mengendalikan pelabuhan dan perdagangannya.  Hal ini kerana sudah tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang tersibuk dan terbesar di rantau ini pada masa itu ditambah lagi dengan bilangan saudagar serta pedagang dari pelbagai negara yang tidak putus-putus mengunjungi Melaka sebagai antara pilihan utama mereka. Melaka mendapat keuntungan ekonominya dengan menjalinkan hubungan dagangan dengan China serta mengambil kesempatan atas dasar perdagangan yang diasaskan oleh Maharaja Yung-Lo.[2] Pedagang-pedagang dari China diberi kemudahan-kemudahan perdagangan yang istimewa untuk berdagang di Melaka. Dengan kehadiran pedagang China, kerajaan Melaka telah mengalakkan lebih ramai pedagang asing untuk menjalankan perdagangan di Melaka. Menurut Duarte Barbosa, seorang pengarang Portugis mengatakan bahawa Melaka adalah sebuah pelabuhan yang tersibuk dan mempunyai bilangan pedagang dan juga jumlah kapal yang terbanyak sekali pada waktu itu.[3] Kesibukan di pelabuhan Melaka dapat dilihat melalui catatan Tome Pires bahawa di pelabuhan Melaka biasanya terdapat lapan puluh empat bahasa yang dituturkan dan setiap pertuturan tersebut adalah berbeza.[4] Selain itu, Tome Pires juga pernah mengatakan bahawa pada setiap tahun terdapat sekurang-kurangnya 100 buah kapal besar dan kira-kira 30 hingga 40 buah kapal-kapal kecil datang ke pelabuhan Melaka. Perkembangan dan pengunaan bahasa Melayu juga mempengaruhi cara perdagangan dengan menjadi bahasa perantara dan bahasa diplomat dimana pedagang-pedagang dari Sulawesi, Jawa, Maluku dan sebagainya walaupun mempunyai bahasa daerah masing-masing namun mereka mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan alat komunikasi antarabangsa untuk berdagang di Melaka.[5]

3.0       Peraturan Pelabuhan dan Perkapalan.

Pelabuhan Melaka mengunakan peraturan tertentu yang diguna pakai semasa menjalankan perdagangan. Pemerintah yang merupakan pihak yang berkuasa akan menerima ufti dan cukai apabila terdapat kapal dagangan masuk ke pelabuhan Melaka manakala rakyatnya akan dikerah bekerja membantu proses dagangan tersebut. Setiap nakhoda perlu melaporkan diri kepada syahbandar  yang bertanggungjawab terhadap pelabuhan dan perlu mengadap orang besar tertentu atau raja Melaka sendiri dengan membawa hadiah. Setelah itu, barulah proses dagangan dapat dijalankan dengan diberi perlindungan, kemudahan dan perkhidmatan pekerja serta  gudang khas  dikhususkan untuknya dan lain-lain faedah pentadbiran. Kewibawaan dan kekuasaan syahbandar dalam usaha pengelolaan undang-undang membantu Melaka memperoleh sumber ekonominya. Hal ini  jika kita perhatikan bersamaan dengan sistem kapal berlabuh  sama seperti undang-undang imigresen dan kastam yang digunakan oleh kebanyakkan negara sekarang dimana para pedagang atau bukan warganegara perlu mengikut garis panduan tertentu bagi memasuki negara lain. Selain itu, ekonomi Melaka juga berpandukan undang-undang dengan melaksanakan Undang-Undang Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang berasaskan Undang-Undang Islam.[6]   

4.0        Sistem Cukai Yang Adil.

Para pedagang dikenakan  cukai  yang adil. Sistem cukai di Melaka berdasarkan pada preferential tariff system. Ini bererti bahawa cukai dikenakan mengikut dari mana dagangan itu datang.[7] Pada umumnya, terdapat dua jenis bayaran atau cukai bagi urusan import atau membawa masuk barang dagangan. Bayaran pertama ialah bersifat rasmi yang tertakluk kepada penetapan kadar yang telah dibuat yang turut juga dinamakan sebagai custom duties manakala bayaran yang kedua ialah berbentuk bayaran tidak rasmi atau hadiah yang harus diberikan kepada Raja, Bendahara, Temenggung dan Syahbandar yang mewakili bangsa nakhoda berkenaan.[8] Negeri-negeri seperti India, Selon, Pegu, Parsi dan dunia Arab atau kapal asing dikenakan cukai sebanyak enam peratus manakala kapal pedagang tempatan dikenakan cukai hanya sebanyak tiga peratus.[9] Pedagang-pedagang dari China, Jepun, Jawa dan Maluku tidak dikenakan cukai tetapi dikehendaki memberikan hadiah kepada raja Melaka dan pembesar-pembesarnya.[10] Namun demikian, Muhammad Yusoff Hashim menyebut di dalam bukunya, bahawa pedagang dari China dan Jepun dikenakan cukai import sebanyak lima peratus.[11]

Selain itu, bahan-bahan makanan yang diimport mendapat keistimewaan iaitu bebas daripada cukai. Bayaran bagi bahan-bahan makanan ini kebiasaannya termasuk ke dalam lingkungan hadiah sahaja. Saudagar- saudagar yang harus mematuhi peraturan ini ialah kapal-kapal yang membawa bahan-bahan makanan tidak kira sama ada dari bahagian timur dan selatan Melaka, Gugusan Kepulauan Melayu, pantai barat Tanah Melayu dan sebagainya. Dasar cukai terhadap bahan import seperti ini berkait rapat dengan keadaan Melaka yang kurang sesuai untuk pertanian. Justeru, sudah semestinya kerajaan Melaka meletakkan dasar yang mudah dan istimewa bagi bahan-bahan makanan dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan untuk penduduk tempatan. Terdapat juga satu jenis cukai bagi mereka yang tinggal atau menetap di Melaka. Tome Pires mengatakan bahawa saudagar yang datang dari Gugusan Kepulauan Melayu dan saudagar asing dari Barat yang ingin menetap bersama keluarga mereka di Melaka akan dikenakan cukai sebanyak tiga peratus.  Dalam tahun 1509 terdapat sebanyak seribu orang Gujerat yang tinggal di Melaka manakala suku-suku Melayu Nusantara pula akan dikenakan royal tax sebanyak tiga peratus dan sebanyak enam peratus bagi saudagar dari Barat Asia.[12] Setelah semua cukai dijelaskan atau dibayar, barulah urusan jualan barangan  bermula di sepanjang jambatan Melaka, pasar-pasar dan sebagainya. Kerajaan Melaka akan mengeluarkan sejenis lesen kebenaran berniaga kepada para peniaga dan penjual. Pengeluaran lesen ini juga adalah sebahagian daripada sumber pendapatan kerajaan.[13]

5.0       Kemudahan Prasarana di Pelabuhan Melaka.

Pemerintah Melaka juga menyediakan gudang untuk pedagang menyimpan barang dagangan mereka. Gudang-gudang ini dikelilingi oleh pagar dan pintu serta dikawal oleh penjaga. Sebahagian gudang berada di bawah tanah.[14] Selain daripada itu, Melaka juga menyediakan kemudahan penginapan kepada para pedagang yang ingin menetap dan terdapat jumlah kadar yang perlu dibayar. Melaka juga menyediakan kemudahan-kemudahan lain seperti kapal-kapal yang rosak boleh dibaiki di pelabuhan. Selain itu, kapal, perahu, jong, lancar  dan pekerja disediakan oleh Syahbandar untuk mengangkut barang ke gudang. Kerajaan Melaka juga turut menyediakan bekalan makanan dan minuman kepada para saudagar. Kedatangan  sebegitu banyak kapal yang datang berlabuh di Melaka menyebabkan kerajaan terfikir untuk menyediakan  infrastruktur atau kemudahan-kemudahan bagi para pedagang seperti kemudahan membaiki kapal dan penyediaan bahan mentah. Selain daripada itu, gedung dan gudang yang disediakan terjamin daripada api, kerosakkan dan kecurian.[15] Gudang tersebut mampu untuk menyimpan bahan-bahan makanan dalam masa atau tempoh yang tertentu. Infrastruktur dan kemudahan yang disediakan ini perlu banyak dan berkualiti kerana saudagar-saudagar dari India, China dan Kepulauan di sebelah Timur tidak sampai pada waktu yang sama oleh sebab semua perjalanan laut sangat bergantung pada tiupan angin monsun.

6.0       Jaminan Keselamatan.

Antara faktor yang menyebabkan Melaka terkenal dan menjadi pilihan pedagang kerana jaminan keselamatan yang diberikan. Unsur-unsur dan jaminan keselamatan gudang-gudang, gedung-gedung, kediaman pedagang dan lain-lain kemudahan yang disediakan terjamin daripada api, kerosakan dan kecurian adalah perlu. Jaminan keselamatan kerajaan Melaka terhadap gedung yang disediakan kepada para saudagar China menurut Kong Yuanzhi mendapati bahawa Melaka telah membina gedung yang dikelilingi oleh pagar kayu runcing dan mempunyai  pintu-pintu yang berkunci. Gedung ini dikawal oleh penjaga yang bersedia untuk membunyikan loceng sekiranya terjadi sesuatu kekecohan dan kecemasan.[16]

Unsur keselamatan bagi perlindungan para pedagang penting juga. Angkatan laut Melaka di bawah panglima laut Laksamana Hang Tuah serta Orang laut atau Orang Selatnya sentiasa meronda di laut dan memberikan perlindungan kepada kapal-kapal pedagang yang datang ke Melaka. Selain itu, Orang “celate” sebagai pelaut yang berani dijadikan tentera laut yang mampu menolak serangan dari Siam.[17] Mereka juga dapat membantu menentang lanun di Selat Melaka kerana lanun boleh menjejaskan keselamatan di perairan.

Tambahan pula, ketokohan laksamana itu sendiri turut diiktiraf oleh masyarakat dalam menjamin keselamatan Melaka khususnya di laut. Laksamana itu digelar sebagai raja di laut. Taraf dan fungsi Laksamana didapati semakin tinggi dan penting selari dengan perkembangan kedudukan kerajaan Melaka yang semakin memuncak dan gemilang. Hal ini kerana peranan Laksamana itu sendiri khususnya dalam menjaga keselamatan di Melaka sama ada di laut dan di darat. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa betapa besarnya peranan dan ketokohan Laksamana itu dalam memelihara keselamatan, seterusnya memberi kepercayaan kepada para pedagang untuk terus berdagang di Melaka.

7.0       Sistem Timbangan  Dan Penggunaan Mata Wang.

Melaka juga mempunyai sistem timbangan dan  unit mata wangnya yang tersendiri dan juga mempunyai jadual khusus nilai pertukaran mata wang dengan  timbangan. Urusan perniagaan dijalankan melalui dua cara, iaitu pertama melalui sistem tukar barang (barter) dan yang kedua melalui proses penjualan dan pembelian.[18] Perniagaan kebiasaannya juga berlangsung di pasar-pasar, warung-warung di jambatan atau di tepi jalan di depan rumah masing-masing selain daripada di pelabuhan Melaka.[19]  Unit ukuran bagi timbangan pada masa itu mempunyai dua nilai atau donominasi  yang bergantung kepada ketul-ketul yang mempunyai ketumpatan timah padu. Jenis yang pertama ialah yang mempunyai berat bersamaan 1 kati 8 tahil ( 1 ½ kati ) dan kedua yang mempunyai berat 1 kati 4 tahil ( 1¼ kati ).[20] Dalam proses jual beli, wang yang digunakan ialah wang logam yang diperbuat daripada kaleng (calains) dalam bentuk timah. Pada kepingan timah ini terpahat nama Sultan Melaka yang memerintah. Selain daripada itu, emas dan perak turut juga digunakan dalam urusan  perniagaan dan ditentukan mengikut nilai barang  dagangan. Tome Pires juga mendakwa bahawa pengenalan dan penggunakan wang di Melaka dipengaruhi secara langsung daripada tradisi perniagaan Pasai. Disebutkan juga bahawa besar kemungkinan, pedagang Muslim dari Pasai yang mempengaruhi penerbitan duit jenis dinar emas dan duit timah yang dikilang di Melaka. Duit timah telah dibuat sejak daripada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1459) dan seterusnya duit-duit kerajaan Melaka yang berikutnya ialah semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Mahmud Syah (1488-1528) dan Sultan Ahmad syah (1510).[21] Pertukaran mata wang juga berlaku di pelabuhan Melaka, di antara mata wang asing dengan mata wang tempatan. Seratus calains dikatakan bersamaan dengan tiga cruzados. Ukuran harga atau nilai mata wang tersebut dikawal oleh syahbandar yang berperanan besar dalam memastikan transaksi perniagaan berjalan dengan adil dan saksama.  Sistem timbangan yang telah disusun oleh kerajaan Melaka juga sangat sistematik kerana bukan satu kerja yang senang untuk menentukan nilai-nilai mata wang tempatan dan juga mata wang asing, lebih-lebih lagi pada kurun yang ke-15.

8.0       Golongan Kiwi Yang Mengendalikan Perdagangan.

Kiwi ialah saudagar yang menghantar dan menyebarkan barangan. Sekiranya kiwi tidak dapat turut sama, maka urusan perdagangannya diwakilkan kepada maula kiwi yang akan menjual barangan di negeri yang dituju.[22] Dalam bahasa moden kiwi boleh dikatakan berperanan sebagai orang tengah atau pemborong yang akan berunding harga dengan pembekal, kemudian merekalah yang akan menjualnya atau mengedarkannya. Dalam fasal 10 Undang-undang Laut Melaka menyebut bahawa kebiasaannya nakhoda, kiwi atau maula kiwi yang memiliki banyak petak. Daripada kenyataan di atas membuktikan bahawa Kiwi juga berperanan sebagai saudagar yang turut menjalankan perniagaan kerana mereka juga mempunyai atau memiliki petak-petak. Petak dalam sesebuah kapal di Melaka mungkin besar kerana disebut oleh Tome Pires bahawa 2 atau 3 orang akan bertugas untuk menjaga suatu petak. Mungkin kita lihat, kiwi atau maula kiwi tidak ubah hanya seperti saudagar seperti kebanyakkan saudagar-saudagar yang lain. Namun tidak dapat dinafikan, fungsi serta peranan institusi kiwi itu sendiri sangat penting. Hal ini kerana kiwi dan maula kiwilah yang bertindak sebagai orang tengah di antara satu saudagar dengan saudagar yang lain daripada berbeza negara atau diantara saudagar dengan peniaga tempatan. Mereka jugalah yang bertindak sebagai pengedar,promosi serta pembekal suatu barangan. Mereka jugalah jua yang memastikan barang-barang dagangan habis terjual, khususnya bahan-bahan makanan yang kita telah maklum tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Itulah sifat atau tugasan Kiwi sebagai orang tengah.

9.0       Kesimpulan.

Secara kesimpulannya, cara perdagangan yang dijalankan oleh kesultanan Melaka telah mengamalkan budaya perdagangan bebas, bersistematik dan mengikut peraturan-peraturan tertentu serta berpandangan jauh. Peraturan seperti pelabuhannya yang mengenakan cukai yang adil, kewujudan pelbagai kemudahan bagi pedagang, sistem pentadbiran yang cekap, pengenalan mata wang dan ukuran adalah faktor yang menarik minat para pedagang untuk berdagang di Melaka. Sistem perdagangan dan pentadbiran yang dijalankan oleh Melaka menjadikan Melaka maju dan terkenal di mata dunia yang lain  sebagai pusat perdagangan terkenal di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun kegemilangan Melaka dalam kegiatan perdagangan antarabangsa  hanya dapat bertahan selama lebih kurang saratus tahun akibat kemerosotan kerajaannya dan diserang oleh Portugis pada tahun 1511. Selepas penawanan dan penguasaan Portugis di Melaka maka berakhirlah empayar Melaka sebagai penguasa utama dalam perdagangan antarabangsa di rantau ini. 

 Bibliografi
Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman,1994, Malaysia Kita. Cet.2, Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Abdul Latiff Abu Bakar, ( ed ),  1984. Sejarah Di Selat Melaka, Melaka: Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka.

Asmad,  (ed ), 1983. Dokumentasi: Seminar Sejarah Melaka, Kerajaan Negeri Melaka.

Hassan Ibrahim, et,al, 1983. Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran Dan Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara
.
Kong Yuanzhi, 2000. Pelayaran Zheng He Dan Alam Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd. Dahlan Mansoer, 1979. Pengantar Sejarah Nusantara Awal, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim, 1989, Kesultanan Melayu Melaka,Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Muhammad Yusoff Hashim. 1990. Kesultanan Melayu Melaka. Kajian Beberapa Aspek tentang Melaka pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani, 2003. Pendidikan Negara Bangsa, Bentong: PTS Publications & Distributors.




[1] Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani,  2003. Pendidikan Negara Bangsa, Bentong: PTS Publications & Distributors, hlmn, 143.
[2] Asmad,  (ed ), 1983.  Dokumentasi: Seminar Sejarah Melaka, Kerajaan Negeri Melaka, hlmn, 27.
[3]Abdul Halim  Saad, Hj. Abdul Halim  Ab. Rahman,1994. Malaysia Kita. Cet.2,Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). hlmn, 134.
[4] Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani, 2003. Pendidikan Negara Bangsa, hlmn, 143.
[5] Abdul Latiff Abu Bakar, ( ed ),  1984. Sejarah Di Selat Melaka, Melaka:  Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, hlmn, 5.
[6] Hassan Ibrahim, et,al, 1983. Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran Dan Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara, hlmn 14.
[7] Abdul Halim  Saad, Hj. Abdul Halim  Ab. Rahman, et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmnl,135.
[8] Muhammad Yusoff Hashim,1989, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,  hlmn, 254.
[9] Zulhilmi Paidi, Rohani Abdul Ghani, 2003. Pendidikan Negara Bangsa, hlmn 143.
[10] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 115.
[11] Muhammad Yusoff Hashim, 1989, Kesultanan Melayu Melaka, hlmn.254.
[12] Ibid., Hlmn.255
[13] Ibid., Hlmn.255
[14] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 115.
[15]Ibid, 115
[16] Kong Yuanzhi, 2000. Pelayaran Zheng He Dan Alam Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia,hlmn 73.
[17] Mohd. Dahlan Mansoer, 1979. Pengantar Sejarah Nusantara Awal, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka,hlmn 240.
[18] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka, hlmn, 255..
[19] Abdul Halim  Saad, Hj. Abdul Halim  Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 114.
[20] Abdul Latiff Abu Bakar, ( ed ),  1984. Sejarah Di Selat Melaka, Melaka, hlmn 97
[21] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2, hlmn, 116
[22] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. hlmn, 116.

Golongan agama merupakan pencetus kesedaran awal tentang nasib bangsa dan negara di Malaysia. JMS 213 SEJARAH POLITIK MALAYSIA MODEN



 Golongan agama merupakan pencetus kesedaran awal tentang nasib bangsa dan negara di Malaysia. Bincangkan.


1.0 Pendahuluan.

Pada pandangan saya, golongan agama sememangnya pencetus nasib bangsa dan Negara di Malaysia. Secara umumnya, golongan agama merupakan golongan yang berkaitan dengan nasionalisme di Tanah Melayu yang sekarang kita kenali sebagai Malaysia. Nasionalisme yang juga dikaitkan dengan “Negara” dan Bangsa”.[1] Nasionalisme bertujuan mewujudkan kebebasan individu dan Negara daripada cengkaman dan kongkongan kuasa asing. Nasionalisme bergerak ke arah pembentukan satu identiti bangsa yang berbudaya tinggi. Semangat nasionalisme pada masa abad ke-20, saya  fokuskan kepada orang melayu kerana pada masa ini mereka adalah penduduk pribumi Tanah Melayu.

Dalam konteks di Tanah Melayu, kesedaran nasionalisme merujuk kepada sesebuah masyarakat yang sedar bahawa mereka di belenggu hidup di bawah penjajahan seperti British dan mereka perlu bertindak untuk memerintah tanah air mereka tanpa diganggu gugat oleh kuasa lain. Menjelang abad ke-20, kebangkitan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu semakin meluas dan dikatakan berada ditahap yang matang. W. R. Roff menyatakan bahawa proses perkembangan nasionalisme Melayu dibahagikan kepada tiga tahap yang dipimpin oleh tiga golongan yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Pada tahun 1906 sehingga 1926, golongan agama yang berpendidikan Arab telah memainkan peranan dalam perkembangan nasionalisme orang Melayu.[2] Kemudian pada tahun 1926 hingga 1937, golongan berpendidikan Inggeris telah memainkan peranan diikuti oleh golongan yang berpendidikan Melayu pada tahun 1937 hingga 1941. Saya akan memfokuskan kepada soalan iaitu tentang peranan golongan agama dalam menentukan nasib bangsa dan Negara bermula pada tahun 1906 sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

2.0 Gerakan Islah-Islamiah, 1906-1926.

Terdapat tiga golongan yang memperjuangkan bangsa melayu pada awal abad ke-20. Golongan pertama ialah mereka orang berketerunan Arab yang menjadi pedagang dan peniaga yang berpengaruh di bandar-bandar telah memimpin gerakan yang memperjuangkan pemulihan agama, ekonomi dalam masyarakat Melayu. Golongan kedua adalah jawi peranakan(berketerunan India-Islam yang kebanyakannya terdapat di Pulau Pinang) yang menolong menyebarkan idea-idea pemulihan Islam yang dianjurkan oleh golongan berketerunan Arab itu melalui penerbitan akhbar dan majalah Melayu. Golongan ketiga ialah merupakan golongan pemulih berpendidikan Arab terdiri daripada orang kacukan Arab-Melayu dan Jawi Peranakan yang tinggal di Bandar Singapura. Tetapi antara ketiga-tiga golongan, golongan yang berpendidikan Arab ini yang mula-mula sekali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan ekonomi dan sosial orang Melayu pada masa itu. Mereka berpendidikan Arab dan melanjutkan pelajaran Islam ke Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. Mereka banyak terpengaruh dengan gerakan pemulihan di sana. Mereka dikenali sebagai Kaum Muda. Mereka menyebarkan pemulihan Islam dengan mendirikan sekolah-sekolah agama dan kemudian menerbitkan majalah dan akhbar untuk memberikan kesedaran kepada orang melayu.

2.1      Perjuangan Kaum Muda.

Pada tahun 1906, telah muncul golongan Kaum Muda. Kaum Muda terdiri daripada Syeikh Muhammad Salim Al-Kalali, Syeikh Mohd. Tahir bin Jalaluddin Al-Azhari, dan Sayid Syeikh bin Ahmad Al-Hadi yang berpendidikan Timur Tengah dan berpendidikan Melayu. Mereka merupakan Jawi Peranakan namun mereka telah sebati dengan cara hidup orang Melayu di Tanah Melayu.. Golongan ini kebanyakkannya bukan berdarah Melayu tempatan kecuali Haji Abbas bin Mohd. Taha. Golongan ini digelar golongan Al-Imam kerana mereka telah menjadi pengasas kepada kemunculan majalah Al-Imam. Majalah ini telah diterbitkan oleh Syeikh Muhammad bin Salim Al-Kalali dan diterbitkan pada 27 Julai 1906.[3] Majalah Al-Imam ini membawa maksud pemimpin yang bertepatan dengan tujuan mereka untuk memimpin orang Melayu supaya sedar bahawa negara mereka telah dikuasai oleh bangsa asing dan mereka hanya menjadi penurut perintah walaupun berpijak pada bumi sendiri. Tujuan utamanya yang dinyatakan dalam rencana pertama yang ditulis oleh Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali dalam majalah Al-Imam sungguh jelas iaitu “...mengingat mana yang lalai dan menjagakan mereka yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat...”[4][Al-Imam adalah merupakan majalah pertama di Tanah Melayu yang mempunyai idea-idea perubahan sosial dan unsur politik.

Kaum Muda berpendapat bahawa kemunduran bangsa Melayu adalah disebabkan oleh kelalaian orang Melayu dengan kehidupan duniawi.[5] Oleh itu, Kaum Muda berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan orang Melayu walaupun kebanyakkan golongan ini bukanlah berdarah Melayu. Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali menyatakan “Sudah minum kami akan susunya dan telah tumbuh darinya daging darah kami dan telah terbit daripadanya nikmat perhatian kesenangan kami. Tidakkah jadi terhutang kami kepada negerinya dan anak-anaknya”.[6] Kebanyakkan orang Melayu tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar dan melakukan perbuatan yang ditegah dalam Islam.  Itu adalah masalah utama yang menyebabkan tiada perkembangan kemajuan pendidikan, ekonomi, sosial dan politik orang Melayu.      

Kaum Muda cuba menyedarkan Kaum Tua iaitu golongan yang  mencampuradukkan antara tradisional dengan agama melalui majalahnya, Al-Imam. Syed Syeikh Al-Hadi menyatakan bahawa amalan khurafat umat Islam dan sikap statis pemimpin agama yang menjadi punca kejatuhan masyarakat Melayu.[7] Kaum Muda menegaskan bahawa tindakan Kaum Tua telah membawa satu pegangan yang salah sekali gus telah menyebabkan orang Melayu yang keseluruhannya yang merupakan penganut setia Islam sering menyalahtafsirkan ajaran agama pada pengertian yang sebenar.

Melalui Al-Imam, Kaum Muda telah membincangkan tentang pemulihan Islam mengikut ajaran Agama Islam yang sebenar seperti yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis untuk mengatasi kemunduran orang melayu dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Al-Imam mengingatkan orang Melayu tentang bahayanya mengikut ajaran ulama kampung yang diputarbelitkan menjadi penghalang kepada kemajuan dalam masyarakat Melayu.

Kaum Muda menyeru orang Melayu supaya menoleh ke arah Jepun untuk meniliti cara mereka memajukan bangsa dan negaranya.[8] Hal ini kerana orang Jepun menerima pembaharuan dari segi politik, ekonomi dan pertahanan namun tidak sedikit pun membelakangkan agamanya. Situasi ini berbeza sekali dengan pandangan orang Melayu yang menolak sepenuhnya tamadun Barat dan menganggap orang Barat sebagai musuh Islam. Apabila agama diasingkan dengan politik, ekonomi dan juga sosial maka pemikiran dan kemajuan orang Melayu tersekat dalam dunia pembangunan.

A-Imam mengusulkan satu pembaharuan pada sistem pelajaran Islam. Sistem yang diperkenalkan adalah berdasarkan rukun dan hukum Islam yang sebenar.[9] Dasar baru ini , mata pelajaran Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang berhubungan dengan mata pelajaran moden hendaklah diajar dan menggalakkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Ini menunjukkan Al-Imam tidak menentang ilmu pengetahuan dan kemajuan seperti yang disebarkan oleh Barat dan dituduh oleh golonan ulama-ulama kampung.  Kaum Muda  menegaskan kepada orang melayu bahawa pendidikan merupakan salah satu medium penting untuk meninggikan martabat orang Melayu.

Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki menyatakan bahawa pendidikan ini saling bersangkut paut dengan aspek keagamaan, sosial, politik, dan ekonomi orang Melayu.[10] Pembangunan yang telah disediakan oleh pihak British tidak mencukupi untuk orang Melayu kerana pembangunan ini masih memberi keuntungan kepada pihak British itu sendiri. Kaum Muda memberi penekanan kepada ilmu Sejarah supaya orang Melayu sedar dan mengambil ikhtibar daripada sejarah yang telah berlaku. Kaum Muda menyatakan orang melayu kurang menyedari kepentingan pendidikan disebabkan oleh raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu yang tidak menyediakan pelajaran untuk rakyatnya sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk memerintah rakyatnya menuntut ilmu kerana mereka golongan yang sangat dihormati. Raja-raja dan orang-orang besar lalai dalam kehidupan mereka yang diselubungi dengan kemewahan dan kesenangan.

Oleh itu, orang Melayu perlu mementingkan pendidikan supaya tidak menjadi bangsa yang mundur. Haji Muhammad Tahir, seorang guru telah mencadangkan supaya pendidikan yang diberikan tidak hanya bercorak agama semata-mata malah disulami dengan ilmu yang diberikan oleh orang-orang Barat.[11]  Kaum Muda meminta orang Melayu supaya menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Haji Muhammad Tahir dan menyeru mereka menyuarakan kepada pihak Raja-raja Melayu dan Pesuruhanjaya Tinggi British agar diberi wang peruntukkan khas untuk sekolah-sekolah tersebut. Melalui pendidikan ini, Kaum Muda telah melahirkan ramai tokoh politik seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Othman Abdullah dan juga Salmah Mohsin.

Kaum Muda juga membuat pembaharuan dalam pentadbiran di Tanah Melayu. Kaum Muda menyatakan dengan melatih anak-anak negeri menjadi pentadbir dan menggantikan pegawai-pegawai asing dengan pegawai-pegawai anak negeri maka kemajuan akan segera diperolehi.[12] Kaum Muda telah mengambil contoh daripada Turki dan Jepun yang telah meletakkan bangsa mereka sendiri dalam corak pentadbiran negara. Hal ini jauh berbeza dengan sistem pentadbiran di Tanah Melayu ketika itu. British telah diberi kuasa dalam soal pentadbiran manakala golongan raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu terasing dan mengasingkan diri daripada rakyat jelata. Selain itu, orang Melayu selalu ketinggalan dalam bidang ekonomi seperti dalam kenyataan ini, “Walaupun sering dikatakan orang Melayu penduduk peribumi negara ini disebut ‘peribumi’ serta menguasai sistem politik dan pemerintahan negara ini, tetapi dalam bidang ekonomi atau perjuangan merebut nilai kebendaan, mereka tewas kepada golongan imigran.”[13] Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu gagal menguasai ekonomi di negara sendiri sedangkan golongan pendatang dapat mengaut keuntungan di Tanah Melayu. Kita lihat orang Melayu dibiarkan oleh pihak penjajah dalam sektor pertanian yang tidak mempunyai daya pengeluaran dan memberikan pulangan yang tidak stabil. Kaum Muda mahu orang Melayu sedar bahawa mereka telah dipergunakan oleh British untuk kepentingan mereka sendiri.

Selain itu, kemasukkan penjajah di Tanah Melayu telah membawa sistem ‘pecah dan perintah’. Sistem ini telah mewujudkan sistem ekonomi kapitalis yang berbeza dengan corak ekonomi yang diamalkan sebelum kedatangan penjajah iaitu sistem ekonomi tradisi. Ekonomi kapitalis telah menyebabkan masalah kemiskinan di Tanah Melayu terus meningkat dan Kaum Muda menyarankan supaya orang Melayu perlu bersaing dengan imigran lain supaya ekonomi di Tanah Melayu dikuasai oleh orang Melayu sendiri.[14]  Kaum Muda bukan sahaja menyedarkan orang Melayu supaya bangkit menentang pihak kolonial malah bangun dari tidur yang lena untuk terus bersaing dengan imigran diTanah Melayu.

            Selain itu, Kaum Muda turut menyarankan kaum wanita untuk mendapatkan ilmu. Kaum Muda menyatakan bahawa perubahan dalam pendidikan perlu dilaksanakan dengan memberi pendidikan sekurang-kurangnya sampai darjah tiga untuk wanita dengan memberi pelajaran Al-Quran dan agama supaya mereka menjadi ibu yang boleh mendidik anak-anak.[15] Pada tahun 1925, Sayid Syeikh Al-Hadi telah menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Hikayat Faridah Hanum menegaskan berapa pentingnya pelajaran dan kebebasan wanita kepada masyarakat.[16] Oleh itu, kita lihat pendidikan menyedarkan wanita tentang pentingnya peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.penulisan telah menjadi medium golongan agama untuk menyebarkan kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu.
Jelaslah di sini bahawa golongan agama pada awal kurun ke-20 telah menyebabkan kesedaran kebangsaan wujud untuk memperjuangkan kemerdekaan bangsa daripada terus dijajah.

2.2      Parti Politik Islam

2.2.1   Hizbul Muslimin

Pada Mac 1947, persidangan Islam se-Malaysia (Pan-Malayan Islamic conference) yang pertama telah diadakan di Madrasah Ma'ahad al-Ehya as-Sharif di Gunung Semanggol, Perak. Perhimpunan yang ditaja oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy dianjurkan untuk membincangkan masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan Melayu-Muslim. Ianya bertujuan membawa gerakan-gerakan dan pemikir-pemikir Islam yang lebih aktif secara politik dan progresif di dalam negeri untuk duduk bersama-sama. Hasilnya MATA, Majlis Agama Tertinggi Malaya (Supreme Religious Council) Malaya telah tertubuh. MATA mula menganjurkan perhimpunan dan kegiatan politik bagi aktivis Melayu-Muslim untuk berkumpul dan berbincang rancangan untuk masa depan dan keperluan untuk mengerahkan masyarakat umum. Majlis itu juga menganjurkan satu persidangan pada 13–16 Mac 1948 yang membincangkan isu tempatan dan antarabangsa yang berkenaan dengan masyarakat umum. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan Hizbul Muslimin.

Hizbul Muslimin ('Hamim') atau Parti Orang Muslimin Malaya (Muslim People's Party of Malaya), merupakan parti Islam yang pertama di Tanah Melayu telah ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Hizbul Muslimin dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir.  Hizbul Muslimin ialah parti Islam pertama di Tanah Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dari penjajahan British.[17] Penubuhan Hizbul Muslimin ini bermatlamat untuk  mencapai kemerdekaan, membina masyarakat yang berasaskan Islam dan menjadikan Malaya sebuah negara Islam atau Darul Islam.[18] Terdapat tujuh objektif untuk memastikan matlamat pertubuhan ini tercapai antaranya ialah untuk menjadikan orang Islam di Malaya sedar tentang prinsip-prinsip Islam, menyatukan barisan orang Islam yang berpecah berpegang pada satu ideologi, menyokong kebebasan akhbar, berhimpun dan bercakap, meningkatkan bilangan sekolah, menyediakan pendidikan mengikut keperluan semasa, meningkatkan kebaikkan moral orang-orang Melayu dan juga menjaga ekonomi dan kebajikan orang Melayu.[19]

Tetapi aktiviti Hizbul Muslimin terganggu setelah pengisytiharan darurat pada Jun 1948. Pada Ogos 1948, tujuh orang pemimpin parti Hizbul Muslimim telah ditangkap di bawah undang-undang darurat di antaranya Dr. Burhanuddin dan Ustaz Abu Bakar Bakir, seorang lagi ulama yang terkemuka yang telah menyumbang jasa dalam Hizbul Muslimin iaitu Syeikh Tahir Jalaluddin. Beliau memberikan pendapat mengenai ekonomi rakyat dan sekolah agama rakyat yang diadakan di Gunung Semanggol sehingga menyebabkan Onn bin Jaafar mengeluarkan amaran mengenai "ancaman bahaya dari gunung",[20] Gunung yang dimaksudkan ialah Gunung Semanggol iaitu tempat kelahiran Hizbul Muslimin. Walaupun perjuangan Hizbul Muslimim terkubur begitu sahaja akibat pengisytiharan darurat namun usaha untuk memperolehi kemerdekaan terus diperjuangkan oleh parti politik yang lain. Aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

2.2.2 Perjuangan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS).

                 PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948. PAS ang ditubuhkan adalah sebuah parti Melayu yang memperjuangkan hal-ehwal Islam.[21] PAS mempunyai tokoh yang berkaliber seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy iaitu seorang tokoh yang mempunyai wawasan dan berpandangan jauh untuk memajukan parti. Sebelum menjadi Presiden PAS, beliau pernah terlibat dengan Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM) iaitu sebuah pertubuhan yang mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Beliau yang telah mencadangkan penubuhan Hizbul Muslimin.

PAS adalah parti yang menjadi pilihan bagi orang-orang melayu yang berpendidikan agama. PAS mempunyai matlamat untuk mewujudkan sebuah negara Islam dan menjadikan pentadbiran Tanah Melayu berasaskan agama Islam. Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah. Tidak dinafikan bahawa semangat perjuangan yang berteraskan kepada Islam di negara ini telahpun wujud semenjak tahun 1906 lagi, yang telah dibawa dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Taha) yang berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang, PAS yang muncul pada tahun 1951 adalah atas kesedaran masyarakat Melayu (pada waktu itu) untuk melihat Agama Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara ini.

PAS telah mewarisi gerakan Islam daripada Hizbul Muslimin yang bergiat dalam politik negara, memajukan organisasi PAS dan menjalankan tugas PAS sebagai pendakwah Islam. Dr. Burhanuddin telah mengkritik Suruhanjaya Reid berkaitan isu kerakyatan jus soli, penggunaan bahasa Melayu, kedudukan orang-orang Melayu dan mengenai pendidikan kebangsaan.[22] Satu memorandum telah dihantar kepada Suruhanjaya Reid dan disokong oleh ahli-ahli yang lain. Dr. Burhanuddin telah membentuk pendirian politik PAS dan beliau merupakan seorang nasionalis Melayu yang cuba menegakkan kebangsaan Melayu dan dasar Melayu Raya. Beliau banyak memainkan peranan dalam usaha memantapkan dan memperkembangkan PAS serta menyalurkan ideanya dalam usaha menuntut kemerdekaan negara. Perjuangan golongan agama sehingga 1957, telah di akhiri dengan perjuangan parti PAS yang sehingga kini masih lagi mempertahankan kemerdekaan Negara.

Kesimpulan.

           Daripada huraian yang telah saya kemukakan dapatlah kita ketahui bahawa golongan agama merupakan pencetus kesedaran awal tentang nasib bangsa dan negara di Malaysia. Mereka menjadi pencetus  kesedaran terhadap nasib bangsa melayu di negeri mereka sendiri. Merekalah yang menggerakkan kaum melayu untuk menaikkan taraf kaum sendiri. Tanpa kesedaran daripada golongan agama  mungkin kita rakyat Malaysia masih lagi berada di bawah jajahan penjajah. Mereka telah menaikkan semangat nasionalisme orang Tanah Melayu hingga sekarang kita merdeka dan menjadi sebuah Negara Malaysia yang membangun memberi keuntungan kepada Orang Melayu bahkan kepada kaum Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.  Perjuangan golongan agama adalah menjurus kepada memerdekan tanah air hingga ke saat ini. Hingga kini PAS yang telah menyertai politik di Malaysia masih bermatlamat mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara Malaysia untuk menjadikan Malaysia  terdiri daripada masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalam nilai-nilai Islam walaupun Negara Malaysia sekarang ditadbir oleh kerajaan UMNO.

Bibliografi
Abdul Aziz Mat Ton. 2006. Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Haji Jaafar. 1985. “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur:   Penerbitan Universiti Malaya.

Abdul Rahman Haji Ismail. 2006. “Bangsa Ke Arah Ketepatan Makna dalam Membincangkan Nasionalisme  Melayu”, Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia.

Abdul Razak Ayub.1985. Perpecahan Bangsa Melayu, Selangor: Dewan Pustaka Fajar.

Azimah Abd.Manaf.2012. Malaysia:Gerakan Kesedaran & Nasionalisme,Kuala Lumpur:Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

Hizbul Muslimin, 26 Disember diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hizbul_Muslimin


Kamaruddin Jaafar. 2003. Dr. Burhanuddin Al-Helmy ‘Pemikir dan Perjuangan’, Selangor: Seri Kembangan.


K.Ratnam.1999.Sejarah Malaysia,Asia Tenggara,Asia Selatan,Asia Timur,Selangor:Pustaka Sarjana Sdn.Bhd.


Mohammad Redzuan Othman,2005, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.

Parti Islam Semalaya, 26 Disember 2013 diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia


William R. Roff. 2003. Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.






[1]Abdul Rahman Haji Ismail,2006, “Bangsa Ke Arah Ketepatan Makna dalam Membincangkan Nasionalisme Melayu”,Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia,hlm.1.
[2] William R. Roff,2003, Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.27.

[3] Abdul Aziz Mat Ton,2006, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn.1.
[4] Mohammad Redzuan Othman,2005, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.113.
[5] Abdullah Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.87.
[6] Ibid.
[7] Abdul Aziz Mat Ton,2006, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn.254.
[8] Abdullah Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya,hlmn. 87.
[9] K.Ratnam,1999, Sejarah Malaysia, Asia Tenggara,Asia Selatan,Asia Timur, Selangor :Pustaka Sarjana Sdn.Bhd, m.s114.
[10] Abdul Aziz Mat Ton,2006, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn. 416.

[11] Abdullah Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn. 87.
[12] Ibid., hlmn.97.
[13] Abdullah Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.88.
[14] Ibid.
[15] Abdullah Haji Jaafar,1985, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, hlmn.93.
[16] Ibid.,hlmn.100.
[17] Hizbul Muslimin, 26 Disember 2013, diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hizbul_Muslimin .
[18][Abdul Razak Ayub, 1985, Perpecahan Bangsa Melayu, Selangor: Dewan Pustaka Fajar,hlmn.45..
[19] Ibid.
[20]Hizbul Muslimin,26 Disember 2013, diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hizbul_Muslimin.
[21] Parti Islam Semalaya, 26 Disember 2013, diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia
[22] Kamaruddin Jaafar, 2003, Dr. Burhanuddin Al-HelmyPemikir dan Perjuangan’, Selangor: Seri Kembangan, hlmn. 214.